Puluhan penumpang pesawat New Delhi-Hong Kong sah positif Covid-19


Sekurang-kurangnya 53 penumpang pesawat dari New Delhi ke Hong Kong disahkan positif Covid-19, kata pihak berkuasa dalam pada hab kewangan China itu melarang ketibaan dari India susulan gelombang baharu jangkitan.

AFP melaporkan, penumpang berkenaan terbang ke Hong Kong menaiki pesawat Vistara India pada 4 April lalu.
Jangkitan disahkan positif itu signifikan kerana Hong Kong semakin hari merekodkan kes harian rendah berbanding keseluruhan jumlah jangkitan ketika gelombang keempat, yang berjaya dikawal pada Januari lalu.

Kini pihak berkuasa melaksanakan larangan dua minggu terhadap semua penerbangan dari India, Pakistan dan Filipina bermula Isnin kerana mengkelaskan negara berkenaan sebagai ‘amat berisiko tinggi’.

Ini susulan pengesanan strain mutan N501Y Covid-19 buat kali pertama dalam komunitinya.

India sedang memerangi tahap jangkitan tinggi yang melihat hospital semakin kehabisan katil dan kerajaan terpaksa mengenakan semula sekatan yang memberi kesan perit terhadap ekonominya.

Ibu negara, New Delhi, dikenakan perintah berkurung bermula lewat Isnin dalam pada pihak berkuasa bergelut mengawal penyebaran jangkitan.

Pesawat Vistara itu mampu membawa 188 penumpang, tetapi pihak berkuasa Hong Kong tidak menyatakan berapa ramai yang menaikinya.
Jangkitan positif itu dikesan ketika penumpang berkenaan sedang menjalani kuarantin wajib tiga minggu dikenakan Hong Kong.

Tempoh kuarantin Hong Kong antara yang paling ketat di dunia, dengan semua pengembara dari 25 negara dianggap berisiko tinggi – antaranya Britain, Afrika Selatan, India, Pakistan dan Amerika Syarikat – juga mesti menunjukkan hasil saringan negatif dalam tempoh 72 jam sebelum meninggalkan negara mereka.

Beberapa kes jangkitan Covid-19 turut dikesan dalam penerbangan yang tiba di Hong Kong dari Mumbai, kata pihak berkuasa.

Hong Kong antara lokasi pertama yang melihat jangkitan Covid-19 namun peraturan tegas untuk memasuki wilayah itu, selain penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka berjaya mengawal jangkitan, dengan hanya 11,700 kes serta 209 kematian. FMT

Najib calls for 14-day quarantine on visitors from India

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker