Azan Maghrib Awal: Puasa Batal, Perlu Diganti – Mufti Selangor
Puasa batal dan perlu diganti. Pengesahan itu diberikan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid mengenai status puasa mereka yang berpandukan azan di Masjid Al Khairiyah Taman Seri Gombak, Isnin lalu.
Bagaimanapun, penggantian puasa itu tidak tertakluk kepada mereka yang berbuka di hujung atau selepas azan kerana ia dikira sudah masuk waktu berdasarkan waktu zon tempatan.
Katanya, waktu solat adalah mengikut zon di negeri-negeri dan bagi kes berkenaan, puasa mereka yang berbuka berpandukan azan pada 7.18 malam itu adalah terbatal dan wajib diganti.
“Biasanya azan mengambil masa selama tiga minit. Kawasan Seri Gombak itu termasuk di dalam Zon 1 iaitu Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
“Bagaimanapun, bahagian falak Mufti Selangor berdasarkan kajian menetapkan jika seseorang berbuka cepat dua minit sebelum masuk waktu dikira sah.
“Jadi bagi mereka yang berbuka di hujung azan atau selepasnya dikira sah kerana berada di dalam tempoh dua minit itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Tamyes bagaimanapun memuji tindakan nazir masjid berkenaan yang berani berterus terang mengenai kesilapan berkenaan.
Katanya, semua orang melakukan kesilapan dan mereka yang berkenaan perlu memaafkan nazir berkenaan yang tidak sengaja mengalunkan azan lebih awal.
“Dia bukannya sengaja. Kita semua perlu berlapang dada. InsyaAllah amal ibadat kita sepanjang hari itu diterima,” katanya.
Tular di media sosial sejak semalam kenyataan bahawa jemaah yang berbuka puasa bergantung kepada azan Maghrib masjid itu kelmarin, 7 Ramadan 1442 atau 19 April 2021, bahawa puasa terbatal.
Masalah teknikal paparan jam digital di masjid pada hari berkenaan menyebabkan azan maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal dan ia hanya disedari apabila ahli jawatankuasa masjid melihat jam masing-masing.
‘Tak sempat habis azan, kami minta bilal hentikan’
Gombak: “Kenyataan yang tular itu memang sah daripada saya. Tak sempat habis azan, kami minta bilal hentikan dan apabila masuk waktu sebenar, azan sekali lagi,” kata Nazir Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak Wan Nawawi Wan Dagang.
Tular di media sosial sejak semalam kenyataannya bahawa jemaah yang berbuka puasa bergantung kepada azan Maghrib masjid itu kelmarin, 7 Ramadan 1442 atau 19 April 2021, bahawa puasa terbatal.
Katanya, ia disebabkan masalah teknikal paparan jam digital di masjid pada hari berkenaan dan masuk waktu awal tiga minit daripada waktu sebenar.
Ditanya bagaimana boleh tersedar ada kesilapan, katanya, ia disedari apabila ahli jawatankuasa masjid melihat jam masing-masing.
“Kita sedar apabila lihat jam. Bilal waktu itu azan di tempat yang berasingan berpandukan jam digital.
“Apabila melihat jam awal tiga minit, kita beritahu bilal untuk hentikan azan
kemudian barulah azan semula apabila masuk waktu sebenar.
“Apa pun, sebelum keluar kenyataan itu memang kami runding dahulu. Kami pasti kejadian itu berlaku. Tidak sewenang-wenangnya kami keluarkan kenyataan,” katanya.
Menurutnya perkara itu sudah selesai di peringkat kariah dan dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Katanya, tujuan kenyataan itu dikeluarkan adalah khusus untuk ahli kariah sahaja.
“Kami tak sangka ia tular. Apa pun, jika yang tiada dalam kumpulan WhatsApp masjid, kami sudah maklumkan melalui hebahan sewaktu solat fardhu.
“Kami ada hebahan pula secara verbal jika tak dapat tahu juga bermakna tiada masalah bagi dia.
“Orang luar kariah tak perlu hebahan ini sebab ada surau dan masjid sendiri,” katanya.
Sementara itu, Noraini Noordin, 35, berkata disebabkan tiga minit awal azan itu dia terpaksa ganti puasa.
Dia yang meniaga buah, air, kuih dan ikan bakar di hadapan masjid itu berkata, apabila mendengar azan Maghrib hari berkenaan dia tidak ragu-ragu berbuka puasa.
“Dengar sahaja azan memang saya ingatkan dah berbuka, teruslah makan.
“Selepas makan sebiji kurma tiba-tiba azan kedua berkumandang.
“Kebiasaannya sekali sahaja azan tetapi saya fikir mikrofon rosak, teruskan sahajalah berbuka puasa.
“Semalam pihak masjid datang beritahu mengatakan batal puasa, maknanya terpaksa ganti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pada waktu itu, katanya, hanya dia dan dua pekerja perempuan di gerainya dan mereka turut perlu gantikan puasa.
Katanya, dia menyangkakan jika perkara itu bukan silapnya, tak disengajakan maka ia tidak membatalkan puasa.
“Rasa terkejut juga sebab tak pernah berdepan situasi ini.
“Apa pun sudah mengikut hukum jadi kita kena ikutlah
“Saya cadang nak ganti puasa itu selepas musim raya. Terima sahaja kewajiban qada’ puasa dan tidaklah menyalahkan bilal yang melaungkan azan,” katanya.
Bagi Ahmad Thamin Tajuddin, 39, peniaga kedai makan itu berkata dia tak perlu gantikan puasa sebab berbuka waktu azan kedua.
Ini kerana, pada waktu azan pertama, dia sibuk menyiapkan bungkusan air dan makanan untuk pelanggan.
“Saya tertanya-tanya kenapa azan dua kali masa azan pertama saya tak sempat lagi buka puasa sebab menyiapkan bungkusan untuk pelanggan,” katanya.
Difahamkan, Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak memiliki kira-kira 3,000 kariah.-HM
You must be logged in to post a comment.