Permaisuri Agong tutup Instagram?
PETALING JAYA: Pengguna media sosial mempertikaikan status akaun Instagram Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas menyedari @airtangan_tunkuazizah seolah-olah dinyahaktifkan hari ini.
Akaun itu yang kini berstatus peribadi sebelum ini dikatakan mempunyai lebih sejuta pengikut.
Pengguna Twitter menyoal sama akaun itu sudah dipadam, dengan segelintir mencadangkan ia mungkin dinyahaktifkan susulan dakwaan mengaitkan keluarga diraja menerima vaksin Covid-19 ketika berada di Emiriah Arab Bersatu.
Pengguna Twitter “Jayne” menyoal sama ada Permaisuri Agong telah memadam akaun IG manakala “NoFapRamadhan” juga menyoal sama ada akaun itu dinyahaktifkan.
Hantaran terakhir dikongsikan Tunku Azizah adalah mengenai memasak hidangan popular tempatan seperti bubur lambuk di dapur Istana.
Satu tangkap layar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan seseorang menyoal sama ada tukang masak Istana turut mendapat suntikan vaksin, dengan jawapan di bawahnya pula bertanya “Dengki ke?”
Media asing pada hujung minggu lalu mendakwa Yang di-Pertuan Agong dan keluarga antara VIP Malaysia yang mendapat suntikan vaksin Sinopharm, yang belum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
Ia turut mendakwa 2,000 dos tambahan diberikan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba malah disifatkan sebagai fitnah. FMT