Apa guna berkuasa jika tak mampu bela agama dihina? – Presiden BERJASA
Jaga angka undi demi kelangsungan kuasa satu kesilapan khilaf
MALAYSIA adalah negara Islam walaupun belum sempurna. Tujuan yang paling utama setelah berkuasa ialah memperkasakan agama lebih lebih lagi Islam adalah agama persekutuan.
Setiap Ahli Parlimen mesti memahami tugasnya setelah berjaya menjadi menteri. Apa yang mesti diutamakan setelah berkuasa. Kalau sekadar siang malam sibuk memikirkan kelangsungan kuasa dan bagaimana untuk menagih undi pengundi, maka anda telah jauh tersasar daripada neraca syarak dalam merebut kuasa.
Sehubungan dengan kuasa setelah menjadi menteri, maka isu memukul pengawal peribadi kerana berpuasa, menteri mesti melihat ianya bukan isu kecil tetapi kes tersebut adalah isu menghina agama Islam itu sendiri. Menteri mesti melihat dari sudut perlu mempertahankan kesucian agama malah ibadah puasa adalah salah satu daripada rukun Islam.
Menteri sebagai pelindung agama mesti tunjukkan ketegasan, pendekatan bijaksana kerana menjaga angka undi demi kelangsungan kuasa adalah satu kesilapan yang tiada khilaf.
Berkaitan isu menghina maruah orang Islam dan agama Islam, Saidina Omar al- Khattab pernah menghukum seorang kafir zimmi setelah didapati dengan pasti kafir zimmi tersebut mencabul maruah seorang muslimah.
Pencabulan tersebut hanya baru terkait dengan maruah seorang muslimah, isu memukul kerana berpuasa bukan hanya terkait dengan maruah individu, malah ianya termasuk menghina agama Islam.
Saya berharap, kerajaan mesti bertegas dengan apa jua isu yang menyentuh agama Islam.
Rakyat sudah cerdik dan pandai menilai, rakyat ingin melihat ketegasan diakhirnya bukannya nampak ketegasan itu diperingkat awal sahaja.
Oleh kerana rakyat semua bising maka kerajaanpun ” tunjuk” juga kebisingannya, tetapi selepas itu isu menghina agama ini selesai hanya dengan permohonan maaf dari pihak majikan yang menghina agama. Kononnya inilah pendekatan yang berhikmah dan harmoni.
Saya tidak nampak permohonan maaf dari majikan yang menghina agama sebagai pendekatan berhikmah, sebaliknya hanya sekadar demi menagih undi dan kelangsungan kuasa diri untuk terus kekal di pentas kerjaya politik.
Ustaz Haji Zamani Ibrahim
Presiden BERJASA
Kerajaan tidak ambil peluang lakukan perubahan ketika darurat – Pakar Ekonomi