Toleransi Tinggi Ke Arah Keharmonian Kaum

1. Malaysia terdiri dari masyarakat berbilang agama dan budaya yang pada asasnya hidup secara aman dan damai. Malaysia juga kaya dengan kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai dialek dan budaya. Mengambil contoh di negeri Sabah, terdapat sebanyak 32 kumpulan etnik. Komposisi antara kaum ini jelas dapat dilihat melalui maklumat dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

2. Justeru, keamanan dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa. Namun, negara turut berdepan isu-isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian. Isu ini selalunya menyentuh soal perbezaan kefahaman mengenai agama, budaya dan kaum masing-masing.

3. Kepelbagaian agama yang wujud dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang boleh mencetuskan konflik, antaranya ialah perbezaan pegangan ajaran agama, sikap penganut agama bertindak di luar batasan yang digariskan agama dan undang-undang negara serta salah faham antara agama atau dalam kalangan agama yang sama.

4. Konflik ini turut dikembangkan dengan wujudnya golongan ekstremisme dan fanatisme terhadap agama yang mengakibatkan usaha memupuk toleransi antara agama dan budaya di negara ini bertambah sukar. Saya berpendapat toleransi dan perpaduan akan dapat dikukuhkan melalui beberapa cara antaranya memberi ruang kepada dialog yang sihat untuk meredakan prasangka dan memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan dikalangan rakyat.

5. Dialog ini boleh dilakukan melalui pelbagai medium seperti ceramah keagamaan, wacana akademik atau seminar serta penganjuran dialog muhibah antara agama. Dialog seperti ini amatlah penting bagi memberikan penjelasan mengenai prinsip kepelbagaian agama dan budaya kepada masyarakat dan memberi kefahaman lebih baik bahawa pentingnya memastikan perpaduan dan kehidupan yang harmoni agar dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan.

6. Dalam bidang pendidikan pula, subjek umum seperti kursus tamadun Islam dan tamadun Asia serta kursus hubungan etnik boleh menjadi kursus wajib kepada pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia. Ini satu pendekatan yang wajar kerana memberi pendedahan pelajar mengenai perbezaan tamadun dan agama yang wujud serta menjelaskan dialog antara tamadun bagi mengelakkan konflik.

7. Ikhlas dari pandangan saya, sikap toleransi yang tinggi adalah kekuatan sebenar untuk kehidupan yang harmoni terutama ketika negara sedang menghadapi pelbagai isu dan cabaran yang melibatkan kaum dan agama. Toleransi bukan sahaja akan membawa kepada kekuatan dalam hubungan antara kaum, agama dan latar belakang sosial, tetapi juga dapat mempromosikan kehidupan yang harmoni di Malaysia.

8. Kesinambungan harmoni ini jelas kelihatan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia, walaupun mereka berasal dari latar belakang sosial, agama dan etnik yang berbeza, namun mereka dapat bersama-sama dan benar-benar menikmati cara hidup Malaysia.

Sumber : Salleh Said Keruak

Tiga jalan perpaduan nasional

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker