Pemain bola sepak maut dipanah petir

 

PETALING JAYA: Seorang pemain bola sepak maut dipanah petir ketika sedang bermain dalam satu perlawanan persahabatan veteran di Wangsa Maju petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang ketika perlawanan persahabatan antara pasukan UK Lion dan Harimau Division di padang bola Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, di Seksyen 5, Wangsa Maju.

Mangsa Lim Yu Kim, 52, disahkan maut serta merta di tempat kejadian di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan.

Menceritakan detik getir itu, pengadil perlawanan berkenaan Asmadi Shawal Ahmad, 49, berkata sepak mula permainan bermula jam 5.05 petang dan ketika itu hujan renyai-renyai.

“Saya tengok jam saya kira-kira 17 minit permainan, tiba-tiba satu panahan petir yang kuat menembak ke arah pagar tinggi pelindung padang yang dibina supaya bola tidak terlepas di kawasan perumahan berdekatan.

“Serpihan petir itu kemudiannya terus menuju tepat ke arah dada mangsa yang menyebabkan kematian serta-merta. Panahan itu menyebabkan jersi dipakai mangsa turut koyak terbakar,” katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan Harian Metro Online.

Katanya, sebagai pengadil tengah yang berada di padang dan lima pemain lain turut rasa gegaran di otak akibat kejadian itu dan paramedik HKL yang datang ke lokasi turut melakukan pemeriksaan terhadap semua pemain dan pengadil termasuk memeriksa keadaan badan, oksigen serta jantung.

“Alhamdulillah tiada apa-apa yang serius. Nyarislah petir itu tidak panah secara langsung di padang, jika tidak mungkin saya juga arwah (meninggal dunia),” katanya .

Beliau berkata, anggaran jarak antara pagar dipanah petir dengan pemain yang meninggal dunia berkenaan adalah kira-kira 50 meter.

Menurutnya, polis sudah membawa mayat mangsa ke HKL untuk bedah siasat manakala lima pemain lain dan seorang pengadil iaitu dirinya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Semua tujuh orang yang terjejas akibat panahan petir. Saya dan enam pemain termasuk si mati. Ini kejadian pertama seumpamanya berlaku dalam hampir 10 tahun karier saya sebagai pengadil,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital memberitahu jika mereka alami kesan sampingan seperti sukar bernafas, sakit kepala, jantung dan sebagainya, perlu semula ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Mazran Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.48 petang tadi.

Susulan itu, katanya, seramai 10 anggota serta pegawai menaiki dua kenderaan APM dikejarkan ke lokasi kejadian.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker