Malaysia kena ‘buli’ kuasa besar punca vaksin Covid-19 lewat

 

PETALING JAYA: Malaysia dipermainkan dan menjadi mangsa buli kuasa-kuasa besar dalam isu pengagihan vaksin, sehingga mengakibatkan bekalan yang sepatutnya sampai tepat pada masanya dilewat-lewatkan oleh pembekal.

Memburukkan keadaan, walaupun kerajaan membuat permohonan kepada pembekal vaksin agar dipercepatkan penghantarannya, namun mereka bersikap sambil lewa atas alasan ingin mengutamakan rakyat negara masing-masing.



Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd. Rabin Basir memberitahu Mingguan Malaysia, kebanyakan pembekal vaksin yang menggunakan pengaruhnya untuk ‘membuli’ Malaysia adalah dari blok Barat, yang mana mereka tidak mematuhi aturan pesanan dan penghantaran vaksin kerana lebih mengutamakan rakyat negaranya.

“Kita ini sebenarnya jadi bahan permainan kuasa-kuasa besar. Ubat yang kita patutnya terima cepat, tapi dilewat-lewatkan oleh pembekal. Jadi ini menjadikan masalah untuk kita.

“Kita pada satu peringkat dimaklumkan bahawa negara-negara Barat ini, mereka hendak utamakan rakyat mereka. Jadi bila mengutamakan rakyat mereka, kita yang dah pesan vaksin ini terpaksa mengikut giliran, walaupun sepatutnya kalau ikut giliran, kita patut terima lebih awal,” katanya dalam temu bual di pejabatnya, Khamis lalu.

Menjelaskan lanjut Mohd. Rabin berkata, tindakan itu mencerminkan sikap pihak Barat yang tidak gentleman dan tidak menepati janji.



Katanya, sepatutnya sebagai kuasa besar mereka harus menunjukkan contoh yang baik, dengan memenuhi pesanan yang dijanjikan mengikut aturan yang telah dipersetujui bersama negara-negara yang membeli vaksin.

“Sepatutnya, kalau sudah terima pesanan, jadilah gentleman, penuhi pesanan seperti dijanjikan ikut aturannya.

“Janganlah kerana hendak utamakan rakyat mereka, kita pula disisihkan, betul? Jadi hal ini yang kita dimaklumkan dulu. Jadi kita lihat seolah-olah ada semacam elemen buli di sini,” katanya.

Justeru beliau berkata, kerajaan bertindak cekap dengan mendapatkan sumber dari pelbagai rangkaian pembekal vaksin berbeza, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada pembekal yang sengaja menyekat penghantaran.



“Saya dimaklumkan kita akan membeli (vaksin) dalam kuantiti yang banyak. Sekarang ini yang terbesar kita beli adalah dari Pfizer, AstraZeneca dan juga Sinovac. Apa yang penting, kita tak boleh bergantung kepada satu pembekal sahaja, bak kata pepatah, jangan letak semua telur dalam satu bakul. Kenapa? Kalau satu pembekal itu sekat penghantaran, masalah pada kita.

“Saya tak ‘privy’ kepada persoalan berapa banyak beli dengan Pfizer, berapa kita beli dengan AstraZeneca atau Sinovac. Tapi yang saya dimaklumkan, bekalannya mencukupi untuk seluruh rakyat kita,” jelas beliau.

Pada 21 Februari lalu, Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. Sejumlah 312,390 dos vaksin Comirnaty itu diterbangkan dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Selain Pfizer, Malaysia juga mendapatkan bekalan vaksin dari pembekal lain termasuk Rusia (Sputnik V) serta China (Sinovac), dengan anggaran sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia akan divaksin sebelum akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran herd immunity negara. – UTUSAN



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker