PM seru hidupkan semula tulisan Jawi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengharapkan agar pelbagai pihak dapat memainkan peranan untuk menghidupkan semula penggunaan tulisan Jawi, termasuk pihak swasta seperti syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, penggunaan tulisan Jawi harus diperbanyak, termasuk di papan-papan tanda dan acara festival.
Dia turut berharap peranan mempromosikan Jawi dapat turut diambil institusi kerajaan di pelbagai kementerian.
“Saya berharap agar institusi-institusi utama seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kerajaan-kerajaan negeri dan NGO akan bersama mempromosi aspek budaya dan warisan melalui aksara Jawi kerana tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti.
“Dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan Jawi ini mesti sentiasa dihidupkan.
“Saya juga menyeru kepada syarikat-syarikat korporat terutamanya GLC, agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri agar memperbanyak penggunaan tulisan Jawi sama ada dalam segmen papan tanda, acara festival dan sebagainya,” katanya.
Dia berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) hari ini.
Buku Budi Asas Tamadun itu nukilan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim.
Dalam ucapannya sebelum itu, Rais mencadangkan agar Muhyiddin dapat memikirkan bagaimana anak-anak muda dapat kembali dididik dengan tulisan Jawi, bagi mengukuhkan rasa cinta terhadap seni Jawi yang katanya merupakan seni orang Melayu.
Sementara itu, Muhyiddin berkata tulisan Jawi sememangnya sudah sebati dalam pendidikan, sosiobudaya dan cara hidup orang Melayu semenjak Islam bertapak di Nusantara.
“Seperti yang dimaklum, Kementerian Pendidikan telah mula menggalakkan pembelajaran Jawi elektif bagi pelajar-pelajar yang berkelayakan tanpa paksa.
“Saya berpandangan bahawa setiap bangsa harus tidak mengabaikan elemen atau unsur-unsur warisan bangsanya.
“Di samping itu, dalam konteks masyarakat majmuk mereka yang punya minat dan keinginan untuk melibatkan diri dengan aspek seninya, budaya dan warisannya amat wajar dan adil jika kerajaan memberi galakan setimpal,” jelas perdana menteri.
Oleh itu, kata Muhyiddin lagi, Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya anjuran Yayasan Budi itu merupakan langkah tepat dan perlu diluaskan ke seluruh negara.