Apabila Suhakam membela pelacur



Sebaran :

Isu hak asasi yang diperjuangkan oleh pihak tertentu bukan suatu yang baharu. Perjuangan mendapatkan hak kepada sesuatu golongan yang bertentangan dengan agama dan budaya masyarakat diadakan secara berterusan, sejak dahulu hingga sekarang.

Tidak lama dahulu, ada yang perjuangkan hak memilih orientasi seks dalam kalangan pengamal Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT). Mereka menuntut hak mengamalkan orientasi seks yang bertentangan dengan peraturan agama dan budaya masyarakat – hubungan seks sejenis.

Saya tidak fikir kita boleh menerima atau melayan tuntutan hak asasi seperti ini. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan hak yang diperjuangkan itu mengambil hak masyarakat yang mahu hidup sejahtera dan lingkungan moral yang terbela.



Sebenarnya ada agenda tertentu dan tidak semata-mata perjuangan mendapatkan hak. Sebaliknya perjuangan ini lebih ke arah normalisasi perlakuan-perlakuan yang bercanggah dengan agama khususnya Islam dan budaya masyarakat. Satu demi satu cuba dilanggar, kemudian institusi agama menjadi sasaran kecaman.

Normalisasi adalah sangat bahaya. Ia merosakkan secara perlahan-lahan apabila sesetengah dalam kalangan masyarakat menganggap sesuatu sebagai biasa atau normal.

Apabila sampai ke peringkat ini, agenda normalisasi sudah mencapai kejayaan.



Boleh sahkan videos seks gay juga? Ahli Parlimen tanya Azmin

Masyarakat pernah dikejutkan dengan tuntutan undang-undang seorang wanita Islam terhadap pasangan seksnya yang tidak memakai kondom. Dia menyaman lelaki itu bukan kerana memaksa atau menjebak dia dalam hubungan haram di sisi agama dan bertentangan budaya masyarakat.

Dia memberi gambaran sekaligus pujukan bahawa seks bebas dalam kalangan orang Islam adalah suatu yang biasa. Ataupun perlu dibiasakan. Yang luar biasa seks yang tidak ada perlindungan. Sekarang perkara begini sudah tidak mengejutkan dan ini adalah suatu yang amat bahaya.

Baru-baru ini muncul pula perjuangan untuk mendapatkan hak kepada golongan pekerja seks. Kononnya masyarakat telah mendiskriminasi golongan berkenaan. Tidak sahaja diskriminasi, malah dikatakan diancam keselamatan mereka dan menjadikan sebagai sasaran kecaman.



Dalam banyak bidang pekerjaan, pekerja seks memilih yang bertentangan dengan agama dan budaya masyarakat. Kemudian menuntut pula hak untuk mendapatkan pengiktirafan, iaitu kerja mereka tidak boleh diganggu kerana ‘pekerja seks adalah pekerja.’

Ini satu agenda untuk normalisasi pekerja seks sama seperti guru, ustazah, jururawat dan lain-lain lagi. Kalau bidang pekerjaan lain tidak diganggu, misalnya boleh melakukan dengan bebas, pekerja seks juga menuntut yang sama – boleh ‘bekerja’ tanpa sebarang ketakutan.

Padahal begitu banyak bidang pekerjaan yang boleh dilakukan tanpa ketakutan, tidak bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat. Paling tidak pun menjadi tukang cuci atau pembantu rumah. Tetapi mereka memilih menjadi pekerja seks, kemudian menuntut hak supaya ‘kerosakan’ yang dilakukan tidak boleh dihalang.



Mereka adalah alat kepada pejuang fahaman liberalisme dan sekularisme yang bertapak kukuh di negara ini. Liberalis dan sekularis berada di segenap penjuru – dalam sektor swasta dan awam, malah tidak terkecuali dalam kalangan pembuat dasar dan pemimpin politik.

Segerakan pemilihan Presiden UMNO selepas darurat tamat

KE LAUT

Perjuangan normalisasi ini berjaya pada peringkat awal apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terjebak mempertahankan dan perjuangkan hak pelacur.



Kenyataan Pesuruhjaya Suhakam, Madelina Berma, pekerja seks di negara ini berdepan diskriminasi, ancaman keselamatan dan tergolong sebagai kumpulan yang dikecam.

Nampaknya matlamat suruhanjaya hak asasi sudah semakin ‘ke laut.’ Secara tidak langsung dilihat selari dengan gerakan liberalisme dan sekularisme. Mereka hanya melihat hak asasi dari definisi dan sudut pandangan Barat, misalnya beberapa deklarasi yang ternyata bertentangan dengan negara ini. Suhakam mesti menggunakan pembaris negara ini, bukan pembaris Barat.

Suhakam tidak sepatutnya membiarkan matlamat dialih kepada golongan yang sengaja melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang dan budaya masyarakat. Sepatutnya menjauhkan diri daripada dipergunakan. Kecualilah ada dalam kalangan pendiri Suhakam sendiri sememangnya selari dengan golongan tersebut.



Saya tertanya-tanya, diskriminasi yang bagaimana dilakukan kepada pekerja seks, istilah mudahnya pelacur? Adakah tempat kerja mereka selalu diserbu oleh pihak berkuasa, atau tidak dapat ‘bekerja’ seperti pekerja lain? Maka mereka menuntut hak untuk menjalankan kegiatan pelacuran tanpa gangguan. Bayangkan kalau tuntutan ini dipenuhi?

Suhakam perlu diselamatkan, kalaupun tidak ‘disekolahkan’. Ini kerana dalam banyak isu, suruhanjaya ini seolah-olah tidak berpayungkan Perlembagaan Persekutuan.

Banyak dikhayalkan oleh mitos hak asasi yang bertentangan dengan persekitaran sosiobudaya setempat di negara ini.



Kabinet “half past six”, Parlimen tidak bersidang dan rakyat tidak boleh berbuat apa-apa..

Saya dan juga banyak yang lain tidak terfikir Suhakam akan perjuangkan hak asasi pelacur di negara yang sememangnya menolak kegiatan sedemikian. Tetapi suruhanjaya ini berada di sebelah pelacur yang tidak ada sisi positif di mana-mana negara sekalipun.

Hak asasi sebenarnya tidak wujud secara mutlak di mana-mana. Ini kerana semua manusia hidup dalam berkumpulan, bermasyarakat yang mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Tidak akan ada seorang yang boleh menikmati ‘hak asasi’ dengan mengenepikan hak-hak masyarakat dan peraturan di sekelilingnya.

Malah tidak ada seorang pun yang boleh hidup tanpa mempunyai masyarakat di sekelilingnya dan peraturan-peraturan tertentu. Kalau semua individu diberi hak untuk melakukan apa sahaja, ini telah mengambil hak masyarakat yang sudah ada peraturan tertentu demi kebaikan umum.

Hak asasi mesti bertunjangkan undang-undang negara tertentu. Pada masa sama, tidak ada hak asasi yang menjurus pada kerosakan terutama moral dan fizikal. Manusia tidak ada hak untuk melakukan kerosakan. Hak asasi adalah suatu yang memberi kebaikan kepada masyarakat.

Di negara ini, apa sahaja perjuangan hak asasi, kebebasan dan sebagainya mesti dalam lingkungan undang-undang tertinggi, Perlembagaan Persekutuan. Kalau hendak perjuangkan hak asasi di luar lingkungan undang-undang tertinggi itu, pergilah ke tempat lain yang tidak dipayungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Pas belum sedia terima Amanah


Sebaran :


Leave a Reply