Jadikan Muafakat Nasional ‘payung’ parti Melayu-Islam
oleh Dr Mohd Noor Yazid
Muafakat Nasional (MN) dimeterai dua tahun lalu, adalah gabungan politik Melayu yang mempunyai makna, falsafah dan matlamat besar bagi mencapai matlamat serta melindungi ummah Melayu di bumi Malaysia.
Ia tidak boleh dilihat sebagai suatu yang statik sifatnya. Sebaliknya, perlu berkembang mengikut suasana sosiopolitik yang sesuai, selagi tidak lari daripada matlamat utama iaitu melindungi politik dan membina kestabilan dan keharmonian negara.
Ketika dimeterai akhir 2019, suasana politik Melayu-Islam berpecah belah. Dua parti Melayu-Islam iaitu PAS dan UMNO berada di pihak pembangkang, manakala Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.
BERSATU sebagai parti politik Melayu, ketika itu bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam PH. Seperti diakui umum, kerajaan PH tidak mendukung sepenuhnya nilai Melayu-Islam kerana BERSATU dalam PH bukannya parti dominan yang benar-benar berkuasa.
Walaupun sesetengah pihak menyangkal, ramai menerima kenyataan ini berasaskan kedudukan DAP sebagai komponen paling besar bilangan Ahli Parlimen dalam PH. Secara ringkas dapat dirumuskan, DAP mempunyai pengaruh besar.
Hakikatnya, parti politik Melayu berpecah belah. Walaupun bilangan keseluruhan Ahli Parlimen Melayu masih besar, perpecahan sesama parti politik Melayu menyebabkan kedudukan politik dan orang Melayu tidak kuat seperti sepatutnya (berasaskan bilangan orang Melayu dan Bumiputera adalah penduduk majoriti Malaysia).
Perkembangan politik dan percaturan kuasa pada akhir Februari 2020, susulan perpecahan parti politik Melayu dan tidak wujudnya sebuah parti Melayu-Islam yang benar-benar dominan.
Ia juga mempunyai hubungan dengan hak Melayu yang dilihat banyak pihak tidak begitu terjamin dan berada dalam keadaan ‘memungkinkan kepada ancaman’ sekiranya keadaan politik begini berterusan dan tidak diubah kepada wujudnya sebuah parti politik Melayu atau gabungan parti politik Melayu-Islam.
Kerajaan terbentuk pada 1 Mac 2020 pada dasarnya berasaskan kepada membina semula sebuah kerajaan Melayu-Islam yang didominasi parti politik Melayu dan bukan Melayu ‘liberal’ yang mendukung nilai ketuanan Melayu serta prinsip asas tiang seri Perlembagaan Persekutuan.
Atas dasar inilah parti politik Melayu seperti PAS, UMNO, BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC turut sama membentuk kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenapa parti politik Melayu yang sebelum ini mempunyai pandangan berbeza (seperti PAS, UMNO dan BERSATU) sanggup bekerjasama bagi membina sebuah gabungan baharu?
Jawapan mudahnya bagi menghalang PH didominasi DAP terus berkuasa. Falsafah asas DAP pada umumnya difahami kebanyakan Melayu, bercanggah dengan prinsip teras orang Melayu. DAP menolak hak keistimewaan orang Melayu yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Deklarasi Setapak tidak selaras prinsip dan perjuangan Melayu pada umumnya. MN yang pada asasnya gabungan kerjasama antara PAS dan UMNO, memberi sumbangan besar kepada terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac 2020.
Tanpa sokongan PAS dan UMNO, bilangan Ahli Parlimen untuk membentuk majoriti mudah – minimum 112 kerusi Parlimen – tidak akan tercapai. Bilangan ahli Parlimen daripada BERSATU dan PKR yang bersama Muhyiddin tidak mencukupi.
MN yang pada asasnya dimeterai antara PAS dan UMNO pada September 2019, perlu disesuaikan semula. Ia tidak boleh dilihat sebagai memecahbelahkan kekuatan dan ummah Melayu.
Ia perlu diperluaskan dan diperbesarkan keanggotaan dengan berteraskan prinsip dan matlamat asasnya, iaitu membina kekuatan dan melindungi Melayu serta seluruh rakyat Malaysia yang mendukung prinsip keharmonian seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia tidak perlu diperkecilkan dan disempitkan keanggotaannya. Adakah MN dianggotai PAS dan UMNO saja? Jawapannya tidak.
MN harus dilihat sebagai gabungan semua parti politik Melayu-Islam (dan parti politik bukan Melayu yang bersifat liberal). Ia perlu terbuka selagi tidak bercanggah matlamatnya.
Persoalan ditimbulkan UMNO sama ada PAS masih bersama atau memilih BERSATU adalah tidak wajar. Tiga parti politik Melayu-Islam ini tidak seharusnya berada dalam keadaan berpisah.
Tindakan dan keputusan UMNO melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada 27 dan 28 Mac lalu untuk tidak bersama BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar.
Keputusan ini perlu difikirkan semula. Benarkah ini keputusan majoriti semua ahli UMNO? Kalau tidak benar, perlu ada sesuatu saranan daripada dalam UMNO.
Kenapa? Perpecahan dan tindakan bertanding sendirian dalam PRU-15 akan membawa kerugian kepada UMNO, bangsa Melayu dan mungkin juga negara secara keseluruhannya.
Realitinya, tidak nampak bagaimana UMNO boleh menang besar dan mampu menjadi parti dominan yang akhirnya mampu memerintah negara.
Keanggotaan BN hanya empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). UMNO sudah tidak mendapat sokongan besar Melayu sejak PRU-14.
Keanggotaan UMNO tiga juta lebih itu juga tidak menjamin kemenangan parti itu secara mutlak. Pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya, ahli UMNO tidak semua memberi undi kepada UMNO/BN.
MCA pula tidak lagi mendapat sokongan besar pengundi Cina. Kawasan Parlimen dikuasai majoriti Cina secara umumnya dimenangi DAP. Dua ahli parlimen MCA menang di kawasan Parlimen majoriti Melayu.
MIC juga menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). PBRS bukan parti yang kuat bagi kawasan pengundi Bumiputera bukan Islam di Sabah. Justeru, peluang UMNO/BN menang besar, agak sukar dilihat pada logik biasa.
Situasi politik yang ada memperlihatkan UMNO tidak harus bertanding bersendirian. MN yang asalnya daripada PAS dan UMNO perlu diperluaskan. Tiga parti Melayu iaitu UMNO-PAS-BERSATU mesti menjadi teras utama.
Kerjasama akan lebih menjamin kedudukan UMNO yang lebih baik dalam politik Malaysia.
Walaupun UMNO tidak mungkin dapat bertanding di semua kerusi majoriti Melayu, tetapi kemenangan akan lebih terjamin.
UMNO boleh bertanding di semua kerusi majoriti Melayu jika bersendirian, tetapi kemenangan akan cenderung lebih sukar.
UMNO perlu melihat situasi baharu politik dan tidak lagi membuat perhitungan dan perancangan seperti sebelum PRU-14. Keadaan banyak berubah. Dasar dan perancangan UMNO perlu juga berubah dengan melihat realiti politik semasa.
MN perlu dilihat dalam realiti politik semasa dan meletakkan kepentingan bangsa serta agama dalam jangka masa panjang.
Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)