2 masjid jadi ‘pelindung’ mangsa keganasan rumah tangga

 

KUALA LUMPUR: Dua masjid dipilih untuk projek rintis Program Masjid Santuni Masyarakat yang menjadikannya sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, kementerian itu menerusi Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sudah melaksanakan projek rintis berkenaan di Masjid Al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Dalam projek ini, masjid akan menerima dan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan bilik asrama yang sedia ada di masjid, keperluan asas diri, dan makan minum sepanjang berlindung di masjid.

“Saya berharap projek rintis ini akan berjaya dan boleh disebar luas ke seluruh Malaysia, agar nasib wanita yang teraniaya ini dapat terbela dan dilindungi,” katanya pada Program Malaysia Prihatin Penyampaian Sumbangan Imarah Ramadan Masjid-masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Titiwangsa.

Rina berkata, pengurusan masjid dan surau diharap dapat menjadi ejen penyampai inisiatif bantuan kerajaan kepada kariah kawasan masing-masing.

Sebanyak tujuh masjid, 17 surau dan empat NGO kawasan parlimen itu turut menerima sumbangan wang tunai pada majlis berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker