Mufti wajar dilantik Exco, anggota Kabinet

PETALING JAYA: Mufti perlu ada kuasa, fungsi dan pengiktirafan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, sememangnya wajar memberikan peranan kepada mufti dan tidak mengehadkan kepada pentadbiran Agama Islam sahaja.

Menurut beliau, jawatan mufti wajar dipertimbangkan menjadi ex-officio Exco kerajaan negeri atau Jemaah Menteri Kabinet.



“Sebaiknya, mufti bertaraf menteri atau Exco dipilih oleh Sultan dalam kalangan alim ulama dan bukan ahli politik agar mufti itu tidak mengutamakan parti atau hak tertentu,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kuasa mufti kini hanya sekadar memberi nasihat dan teguran kepada salah laku, tetapi tidak dapat membuat pendakwaan.

“Pendakwaan mesti diletak di bawah jabatan pendakwaan sedia ada tetapi berasingan daripada Jabatan Mufti bagi mengelakkan konflik kepentingan dan membawa kepada kecaman kepada pemilihan fatwa dan seseorang mufti,” jelasnya.

 



Khairil Azmin berkata, dengan cara ini, segala keputusan kerajaan akan mengambil kira hukum-hakam agama Islam dan kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan serta agama di negeri-negeri.

“Kerajaan juga boleh membuat syor berkaitan polisi-polisi dan tindakan yang perlu diambil terhadap kegiatan yang membahayakan umat Islam dan agama Islam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil pula berkata, pelantikan mufti sebagai Exco akan memberi penghormatan serta kekuatan kepada sesebuah kerajaan atau negeri.

Katanya, mufti dapat memberi pandangan serta menyelia dengan lebih tepat berkenaan kerja-kerja pentadbiran sesebuah kerajaan.



“Sekarang mufti pun sudah ada pelbagai ilmu, bukan hanya mahir bab hukum-hakam agama sahaja. Oleh sebab itu, kena boleh lantik mufti masuk dalam Kabinet,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker