MIC rela berkorban kerusi apa salahnya UMNO juga berkorban dalam PRU-15

 

Presiden MIC SA Vigneswaran berharap Umno bersedia melepaskan sekurang-kurangnya 10 peratus kerusi parti itu bagi menjamin kemenangan dalam PRU akan datang.

Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-74 hari ini, Vigneswaran mendakwa Umno sendiri sebelum ini meminta MIC untuk mengorbankan sejumlah kerusi dalam PRU akan datang.

“Ini walaupun MIC hanya ada sembilan kerusi Parlimen (yang ditandingi pada PRU14) dan kemungkinan 35 peratus kerusi terpaksa dikorbankan.

“Kalau ini adalah nasihat Umno kepada MIC dulu, maka apakah salah jika Umno juga bersedia mengorbankan sekurang-kurangnya 10 peratus kerusi mereka (daripada 121 kerusi yang ditandingi pada PRU14),” katanya kepada hampir 400 perwakilan di Klang, pagi hari ini.

Katanya, ia bagi menjamin kemenangan dalam PRU akan datang dan setiap parti dalam BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu sedia berkorban untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Mengulas lanjut dalam sidang media selepas itu, Vigneswaran berkata dia merujuk gesaan Umno agar MIC melepaskan kerusi kepada beberapa parti India yang lain, seperti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), seperti dalam beberapa PRU sebelum ini.

“Dalam ucapan, saya beritahu hasrat BN untuk kuatkan gabungan dengan cara bawa parti-parti baru dan kebanyakan parti ini berasaskan masyarakat India. Sebelum ini kami tidak pernah persoal (tentang parkara itu).

“Dalam beberapa PRU lalu, tak ada peningkatan kerusi (yang dimenangi parti India). Sebab itu saya kata kalau nak kuatkan BN, lebih baik (kerjasama) dengan Bersatu,” katanya.

Umno dalam perhimpunan agung tahunannya minggu lalu memuktamadkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15. Setakat ini, parti komponen BN lain iaitu MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) belum menyatakan persetujuannya.

Malah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang sering ditandingi parti itu sebelum ini, dalam PRU akan datang.

Setiausaha Agung Ahmad Maslan pula berkata parti itu akan bertanding semula di semua kerusi yang dimenanginya pada PRU 2018 tetapi kini menjadi milik Bersatu selepas pemenangnya menyertai parti itu.

Walaupun dengan serangan terhadap Bersatu yang memenuhi PAU minggu lalu, Vigneswaran dalam ucapannya tetap menyuarakan keyakinan yang kedua-dua parti itu dapat menyelesaikan perbezaan mereka.

Katanya, ia dengan syarat semua pihak mengadakan perbincangan “dengan niat yang murni dan dipandu dengan semangat yang melatari pembinaan negara demi kepentingan rakyat”.

“Dengan niat murni ini, tiada sebab mengapa agenda ini tidak dapat kita capai untuk kebaikan negara.

“Saya cukup yakin Umno dan Bersatu dapat menyelesaikan perbezaan mereka, sama seperti Umno dan PAS menguburkan masalah mereka.

“Penting untuk kepimpinan BN mencapai kata sepakat dengan PN dan mencari formula terbaik bagi mengelakkan pertembungan antara parti kerajaan khususnya dalam pembahagian kerusi pilihan raya,” katanya lagi.

Sementara itu, Vigneswaran turut memberi peringatan kepada kepimpinan BN agar memberi jaminan terhadap perwakilan masyarakat India dalam kerajaan secara memadai.

Katanya, jaminan itu seharusnya menerusi peruntukan kerusi yang adil kepada MIC.

“Bagi memastikan masyarakat kita tidak ketinggalan daripada arus kemajuan, penting untuk MIC mendapat kerusi tradisi kita serta kerusi baru berasaskan kepada realiti politik di peringkat akar umbi.

“Maksud saya ialah kerusi yang boleh menang. Jangan cuba menghina kami dengan memberi kerusi yang pasti (MIC) kalah,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi parlimen dan 18 DUN. Parti itu menang dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker