Unjuran pertumbuhan ekonomi BNM terlalu optimis, kata pakar

KOTA KINABALU: Pakar ekonomi bersetuju proses pemulihan ekonomi negara akan mula menunjukkan hasil tahun ini , namun pada kadar lebih rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM).

Unjuran BNM bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang di antara 6% dan 7.5% disifatkan terlalu optimis.

Pakar ekonomi dari Uitm Sabah, Firdausi Suffian berkata, ekonomi negara pasti akan berkembang sebaik aktiviti perekonomian dibuka sepenuhnya dengan perniagaan dan perlaburan dibuat serta pelbagai projek pembangunan kerajaan dimulakan.

Namun beliau tidak bersetuju dengan jangkaan terlalu tinggi oleh BNM memandangkan kebanyakan industri masih belum pulih, termasuk pelancongan yang merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negara.

“Jangkaan itu terlalu optimis. Kalau (ia mencapai) 6% ke 7.5%, kebiasaanya bermaksud terdapat sektor ekonomi baharu, selain perkembangan besar-besaran sektor dan pelaburan tertentu,” beliau memberitahu FMT.

Bagaimanapun katanya, ia merupakan cabaran besar, terutamanya kerana sehingga kini tiada tanda sempadan antarabangsa negara akan dibuka dalam masa terdekat.

“Banyak negara yang masih belum membuka sempadan mereka. Jadi, sebagai contoh , bagaimanakah sektor pelancongan akan memberi sumbangan kepada ekonomi?

“Sektor itu merupakan antara penyumbang terbesar kepada negara,” jelas Firdausi.

Firdausi Suffian.

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata , ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 6% dan 7.5% tahun ini, berbanding penguncupan 5.6% pada 2020.

Ini katanya, disokong oleh faktor domestik termasuk penggunaan dan persekitaran luaran lebih baik berikutan pelancaran program vaksinasi.

Selain imunisasi, langgah sekatan lebih longgar, peningkatan berperingkat situasi tenaga buruh negara, sokongan dasar berterusan kepada isi rumah dan perniagaan serta permintaan luaran yang semakin baik di tengah-tengah perkembangan teknologi akan memacu pemulihan ekonomi.

“Ekonomi Malaysia akan kembali pulih pada 2021 , dengan Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK mencapai tahap sebelum Covid 19 menjelang pertengahan 2021,“ jelas beliau dalam satu taklimat kepada editor.

Carmelo Ferlito.

Sementara itu Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, ekonomi negara boleh “bangkit semula” seandainya situasi kes Covid 19 dan dasar dengan momentum yang ada sekarang diteruskan.

“Bagaimanapun kita belum tahu apakah langkah sekatan atau langkah lain akan dilaksanakan seterusnya.

“Anggaran lebih tepat boleh diperolehi pada suku kedua tahun ini.”

“Mungkin kita boleh lihat pada unjuran yang konservatif, iaitu pada kadar 3% , dan mungkin meningkat seandainya program imunisasi berjalan lancar dan situasi PKP menjadi lebih baik lagi,” kata beliau kepada FMT.

Ferlito berkata, pertumbuhan ekonomi mungkin terjejas akibat faktor lain, termasuk inflasi.

“BNM mengumumkan kemungkinan berlakunya inflasi lebih tinggi pada suku tahun kedua nanti. Jadi ini antara elemen yang membimbangkan ,“ kata beliau.

Beliau percaya pelaburan swasta merupakan kunci utama bagi mengerakkan perkembangan ekonomi negara yang lebih mampan.

“Jangan kita lupa bahawa perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan dan kita juga mengalami masalah dengan kesesakan rantaian pembekalan dan logistik yang diperlukan bagi menarik pelaburan asing ke negara ini, “ kata beliau.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker