Semangat setiakawan PAS-Bersatu utuh – Muhyiddin Yassin

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendirian PAS untuk kekal bersama Bersatu adalah sebagai semangat setiakawan yang utuh.

Perdana Menteri, yang juga Presiden Bersatu, berkata semangat tersebut sekali gus membantu Perikatan Nasional (PN) merangka hala tuju yang jelas termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



“Kita (Bersatu dan PAS) bertekad supaya apa sahaja situasi, kita akan bersama-sama.

“Kenyataan bersama Bersatu dan PAS hari ini menampakkan komitmen kami terhadap hala tuju dua parti ini dalam PN.

“Apapun yang berlaku, itu soal Umno tetapi dari sudut kerjasama Bersatu dan PAS, hala tuju jelas dengan terbentuknya Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi parti khususnya menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor secara berasingan di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.



Bersatu dan PAS hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan kesepakatan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 termasuk bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata bagi mengekalkan kesepakatan itu, agihan kerusi Parlimen pada PRU15 menjadi agenda utama PN.

Mengenai mesyuarat PN Johor pula, beliau berkata gabungan itu telah membincangkan mengenai rundingan bagi menyelesaikan struktur pembahagian kerusi di Parlimen Johor.

“Struktur pembahagian kerusi dirunding bagi mengenal pasti sama ada Bersatu, PAS atau Gerakan yang akan mengetuai.



“Tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh pimpinan di peringkat nasional,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker