Annuar Musa mulakan kempen pemilihan UMNO ?


Pemilihan UMNO Jun ini?

KETUA UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa pemilihan kepimpinan UMNO yang baharu akan diadakan pada bulan Jun ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu Perlembagaan UMNO telah menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja.

Kali terakhir pemilihan pucuk kepimpinan UMNO berlangsung pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu tamat pada Jun ini.

Justeru menurut beliau ahli akar umbi UMNO berpeluang untuk memutuskan bakal calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari parti itu pada Jun nanti.

“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi. Kita tidak teragak agak untuk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan

“Insya-Allah calon PM dan TPM dari UMNO akan di putuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli UMNO sendiri.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai PM, TPM bila tiba masanya,” kata Annuar.

Pada Februari lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi memberi jaminan pemilihan parti itu akan tetap diadakan tahun ini.

Bagaimanapun beliau tidak menetapkan tarikh pemilihan parti akan berlangsung.

“Tetapi saya sudah berjanji dan memberi jaminan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan nasional akan tetap diadakan tahun ini,” katanya dalam satu program buat bicara.

Sebelum ini bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menggesa UMNO menyegerakan pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika ia mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun ini, perlu diadakan segera sebelum PRU-15.

Pemilihan awal akan membolehkan UMNO menghadapi PRU-15 dengan barisan pemimpin yang memiliki ‘mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat’.

“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan hingga selepas pilihan raya umum. Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini. UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat.

“Segerakan pemilihan parti. Lakukan perkara yang tepat, Majlis (Kerja) Tertinggi (MKT). Anda tahu kita tak boleh teruskan dalam keadaan begini,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu.-SM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker