Si pencinta haiwan, jangan kerana perbuatan ini Allah MURKA kepada anda


Islam agama yang syumul, hinggakan dizahirkan dengan enam daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan sempena nama-nama haiwan seperti surah al-Baqarah (lembu), al-An’am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah), dan al-Fil (gajah).

Kedudukan haiwan dalam Islam pula memang sudah termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun taraf haiwan tidak diberikan sama seperti manusia dari segi akal dan fikiran, namun dari segi kehambaan, kedudukan haiwan adalah setaraf manusia.

Sebagaimana firman Allah surah Al-An’am: 38.

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu.”



Baginda s.a.w juga ada berpesan, “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan ke atas setiap sesuatu”.

Sesungguhnya menyayangi haiwan adalah sunah Rasullullah s.a.w di mana para sahabat dan orang-orang di zaman terdahulu senantiasa mengambil berat tentang hal kebajikan haiwan. Ini kerana ia termasuk dalam sifat ihsan umum yang bermaksud kebaikan yang melebihi kebiasaan.

Haiwan juga merupakan ciptaan Allah yang sangat mulia kerana ia disifatkan sebagai hamba yang sentiasa patuh kepada suruhan Allah. Seperti firman Allah kepada lebah dalam surah Al-Nahl: 68

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok dan dari apa yang mereka dirikan.”



Lihatlah gunung-ganang dan pokok-pokok yang ada di sekeliling kita, kepatuhan lebah terhadap perintah Allah amat jelas dan dapat kita lihat dengan pancaindera yang dimiliki akan taatnya haiwan ini hingga sekarang, kebanyakan sarang lebah dibina di atas pokok di hutan dan juga sarang yang dibuat oleh manusia bagi tujuan penternakan.

Abdul Rahman si bapa kucing

Siapakah Abu Hurairah? Agak mustahil jika kita tidak kenal bukan? Dialah Abdul Rahman merupakan perawi hadis yang terkemuka dan diberi gelaran bapa kucing atau lebih dikenali dengan Abu Hurairah kerana kegemarannya bermain anak kucing.

Diceritakan, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya, beliau yang dalam perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besarnya.




Kerana sifat Abdul Rahman yang cintakan haiwan maka Baginda memberi gelaran padanya sebagai Abu Hurairah iaitu bapa kucing

Apabila sampainya di masjid, Baginda s.a.w. bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Beliau menjawab

“ia anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya.” Lalu Baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan gelaran Abu Hurairah.

Semenjak itu beliau lebih gemar digelar Abu Hurairah. Gelaran itu tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasinya sebagai perawi hadis yang terkemuka. Malah, inilah gelaran yang paling disukainya kerana Baginda Rasullullah sendiri yang memberi gelaran itu. Tambahan lagi, gelaran itu juga mengingatkan beliau akan amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.



Jangan undang murka Allah

Setelah membaca kisah Abu Hurairah, tentu sebahagian daripada kita akan timbul keinginan untuk membela haiwan seperti kucing, hamster, arnab dan sebagainya. Namun harus diingat, menyayangi dan sukakan kucing merupakan keperibadian semulajadi Abu Hurairah. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil binatang lain dan memberi layanan yang sama seperti kucing.

Menurut Ustaz Mustafa Abdul Rahman, seorang penceramah bebas, kucing kebiasaannya hidup dalam kalangan masyarakat. Jika kita memelihara binatang lain yang pada asalnya habitat di hutan, sudah tentu binatang itu inginkan kebebasan.

Sekiranya haiwan yang habitatnya di dalam hutan, ditempatkan dalam masyarakat, sudah tentu akan menyiksa haiwan tersebut bukan? Dan penyiksaan ini boleh dianggap sebagai satu kezaliman terhadap binatang.




Satu bentuk kezaliman apabila memelihara haiwan yang bukan fitrahnya hidup bersama manusia

Bayangkan seekor burung yang cantik dan sedang terbang bebas di udara ditangkap dan dimasukkan ke dalam sangkar, alangkah kasihan burung itu. Terpisah dari keluarga dan habitat asalnya. Tidak lagi dapat terbang bebas seperti sebelumnya.

Mengulas dengan lebih lanjut lagi, setiap haiwan diciptakan dengan fitrah masing-masing sepertimana manusia.Tidak salah untuk menyayangi haiwan peliharaan dan membelanjakan wang untuk keperluan tertentu seperti keperluan makanan dan tempat tinggal.

Tetapi haruslah diingat, kita tidak dibenarkan melebihi batas dalam perbelanjaan hingga boleh membawa kepada pembaziran.



Ia seperti telah menjadi satu trend dalam masyarakat untuk berbelanja terhadap haiwan seperti membeli pakaian dan juga membeli aksesori-aksesori yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit, sedangkan haiwan tidak diwajibkan untuk menutup aurat ataupun berpakaian seperti manusia.

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehinggalah Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah surah al-Isra’:27:

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Berdasarkan firman tersebut, jelaslah bahawa kita tidak boleh berbelanja sehingga melebihi had yang ditetapkan oleh syarak. Sungguhpun kita amat menyayangi haiwan peliharaan hingga sanggup berhabis wang, sedangkan wang itu boleh dibelanjakan untuk perkara-perkara yang lebih afdal.

Belanjakan untuk yang selayaknya

Andai kata kita mampu sekalipun dan ianya tidak membebankan, seeloknya wang itu dibelanjakan untuk perkara yang lebih penting. Dan dalam masa yang sama, alangkah baiknya jika kita juga turut melakukan amal jariah seperti bersedekah dan membantu sesama manusia yang lebih memerlukan.

Ingat, jangan kerana perbuatan pembaziran ini mengundang kemurkaan Allah.

Walau bagaimanapun bagi status haiwan peliharaan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi seperti ular, iguana dan sebagainya, kita haruslah kembali kepada fitrah haiwan tersebut. Sekiranya mahu memelihara haiwan yang mahal dan dianggap eksotik ini, lihatlah kepada faedah ataupun manfaat haiwan tersebut kepada manusia.


Haiwan seperti kucing tidak wajib menutup aurat. Maka hukumnya berdosa jika ada berlaku pembaziran semata-mata untuk menghiasnya

Tambahan lagi, niat dan tujuan untuk memelihara haiwan seperti ini haruslah jelas dan memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan dalam Islam.

Misalnya, ada sesetengah orang gemar memelihara ular sawa hanya kerana ianya cantik dan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan kerana mampu memiliki ular tersebut, hal ini tidak dibenarkan kerana telah menghalang ular tersebut dari habitat asalnya.

Tetapi lain pula sekiranya memelihara ular tedung dengan tujuan mengambil bisa ular tersebut untuk dijadikan ubat, dalam hal ini ianya dibolehkan. Atau memelihara haiwan untuk tujuan pembelajaran itu juga dibolehkan kerana ada manfaatnya kepada masyarakat umum.

Namun jika hanya sebagai hobi dan memenuhi kepuasan diri semata-mata, adalah lebih elok jika haiwan tersebut dilepaskan ke habitat asal, kerana tiada manfaat. Wallahu a’lam.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker