PAU 2020: Ular, panglima dan pengkhianatan yang tidak berkesudahan dalam Umno

 

PETALING JAYA: Banyak emosi yang terbiar tidak dipenuhi, banyak hasrat yang tidak kesampaian selepas hari pertama Perhimpunan Agung Umno (PAU), tetapi lebih banyak ketegangan bakal berlaku ketika kumpulan berlainan berebut untuk menguasai parti terbesar orang Melayu itu.

Gelaran seperti “munafik”, “musuh”, dan “politik kebencian” bergema walaupun sewaktu laungan “kesatuan” berkumandang di dewan perhimpunan ketika pemimpin parti meluahkan kekecewaan mereka mengenai keadaan semasa dalam Umno.

Namun di sebalik tabir wujud pengkhianatan tersembunyi antara rakan-rakan, jabat tangan rahsia dengan musuh, dan perjuangan yang tidak pernah berakhir untuk terus berada di puncak kuasa.

Bagi rakyat biasa, perhimpunan agung dua hari itu, pada sambutan jubli intan Umno, adalah persembahan solidariti dalam parti yang diasaskan atas kepentingan orang Melayu yang berkembang dengan tarikan kepelbagaian kaum melalui kepemimpinannya dalam Barisan Nasional

Namun, pertemuan rahsia antara kumpulan berlainan memanaskan iklim parti sehingga menyebabkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menetapkan nada dalam ucapannya pada perhimpunan agung semalam.

Syed Arabi Idid.

Mohamad mendesak ahli Umno supaya tidak keliru dengan musuh sebenar parti itu, dengan menambah bahawa “musuh dalam selimut” lebih merosakkan parti.

Perunding strategi politik, Syed Arabi Idid, yang mengulas mengenai prosiding semalam berkata, tikam belakang dan “ular” ada dalam mana-mana parti politik, tetapi keadaan itu akan menjadi bertambah buruk apabila parti itu lemah.

Beliau memberitahu FMT bahawa Umno dikuasai oleh panglima yang bergerak dalam struktur kuasanya.

“Tetapi sekarang parti itu tidak sekuat sebelumnya. Para panglima ini mencari dan bertanya apakah yang ada untuk mereka sehingga mewujudkan kumpulan.”

Beliau berkata, itu adalah sebab mengapa ucapan Mohamad semalam lebih tertumpu kepada usaha menggalakkan ahli supaya bersatu, selain mengingatkan bahawa “Umno mempunyai peluang untuk menang. Jadi bersabarlah. Jangan melompat.”

Kamarul Zaman Yusoff.

Seorang lagi penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia, berkata, beberapa Ahli Parlimen Umno mungkin berasa parti itu tidak mempunyai arah tuju yang jelas.

Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mungkin gagal mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu kerana beliau tidak memegang jawatan dalam kerajaan. “Itulah sebabnya sebilangan mereka berani bersuara menentangnya.”

Ahli Parlimen yang memegang jawatan dalam kerajaan mungkin mahu menjaga kepentingan sendiri dengan menjaga hubungan baik dengan PPBM walaupun ada permintaan daripada parti agar memutuskan hubungan dengan parti kerajaan itu selepas pilihan raya umum akan datang.

“Dalam erti kata ada ‘ular’ yang mahu menjaga kepentingan individu dalam kerajaan dan pada masa yang sama dilihat bekerja demi kepentingan parti sehingga mereka mendapat sokongan daripada ahli Umno,” tambahnya.

Beliau percaya tingkah laku ini akan berterusan sehingga pemilihan presiden Umno akhir tahun ini dengan perwakilan memilih pemimpin parti untuk tiga tahun akan datang.

“Sehingga itu budaya ini (tikam belakang) akan tetap ada,” katanya, selain menambah bahawa panglima akan terus melobi pemilihan presiden parti mereka.

Azmi Hassan.

Namun penganalisis politik Azmi Hassan berkata, Ahli Parlimen Umno yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak semestinya mengkhianati parti itu.

“Mungkin ada salah faham. Apabila seorang menteri atau timbalan menteri menyokong perdana menteri, mereka boleh menyokong dasar beliau kerana mereka berada dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

PAU 2020 diteruskan hari ini dengan Zahid dijangka memberi ucapan yang berapi-api bagi memastikan semua mengikuti dasar parti sewaktu pertarungan antara PPBM dan Umno semakin panas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker