PAU 2020: ‘Kuster Menteri’ dan ‘Kluster Mahkamah’ adalah kluster ciptaan ‘Musuh’ UMNO – Ketua Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menafikan wujud “kluster menteri” dan “kluster mahkamah” dalam Umno seperti digambarkan.

Katanya, istilah itu diwujudkan oleh musuh-musuh yang cemburukan Umno bagi mewujudkan pertelingkahan.

Bagaimanapun Asyraf tidak menafikan wujudnya pertelingkahan dalaman, yang menurutnya adalah perkara biasa dalam parti itu.

“Sebenarnya Umno ini dari dulu lagi tak pernah sunyi daripada krisis kepimpinan mahupun wujud perbezaan pandangan, kadang kala sampai kepada pertelingkahan kerana Umno ini dia meraikan prinsip demokrasi.

“Satu perkara yang kita harus ingatkan kalau dalam konteks sekarang. Kita tak lihat perbezaan itu sampai meruntuhkan parti.

“Banyak perkara yang timbul dicetuskan oleh mereka yang cemburukan Umno itu sendiri dengan istilah-istilah ‘kluster menteri’, ‘kluster mahkamah’ wal hal tak timbul pun perkara ini,”

Untuk rekod ‘kluster mahkamah’ dikaitkan dengan pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan di mahkamah, manakala ‘kluster menteri’ membabitkan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan ‘kluster menteri’ dengan kepimpinan Umno dikaitkan dengan bantahan terhadap keputusan Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan antara yang lantang menentang keputusan Umno menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Asyraf berkata Perhimpunan Agung Umno (PAU) menjadi medan penyatuan kepimpinan sejak dari dulu lagi.

Katanya lagi, apa juga keputusan yang dicapai oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak pernah ditentang oleh pemimpin yang berada dalam kabinet.

“PAU satu medan pemersatu dari segi parti dan kepimpinan.

“Dari dulu lagi apa juga yang melanda parti biasanya akan diputuskan dan dijernihkan, yang mana kusut akan dileraikan yang mana keruh akan dijernihkan dalam PAU,” katanya lagi.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker