Kalau Umno dah tak cantik, kenapa ada usaha nak melamar? – Khaled


Naib Presiden Umno, Khaled Nordin hari ini menempelak pihak yang mengkritik parti itu dengan mengatakannya sudah tiada kekuatan.

Katanya, jika benar Umno sudah hilang kekuatan kenapa masih ada usaha dari pihak lawan untuk melamar parti keramat Melayu itu bagi menjalinkan kerjasama politik.

“Beberapa hari lagi kita akan berhadapan dengan PAU (Perhimpunan Agung Umno) dan kita dapat lihat menjelang perhimpunan agung Umno ini pelbagai alasan, telahan dan komentar diterbitkan.

“Itu menunjukkan bahawa pentingnya Umno kepada politik dan masa depan Malaysia, apatah lagi ucapan dan perbahasan serta apa saja keputusan yang dibuat ia memang akan mempengaruhi perjalanan Malaysia.

“Jadi, untuk musuh Umno, dia akan kata Umno dah tak ada kekuatan, jadi kalau dah begitu mengapa memberi tumpuan kepada Umno?” soalnya dalam siaran langsung di Facebook Pergerakan Wanita Umno Malaysia, malam ini.

Ketika hubungan Umno dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ibarat retak menanti belah, cakap-cakap mengenai penjajaran politik baru hangat diperkatakan.

Ini termasuklah kerjasama antara Umno dengan PKR dan DAP.

Sebelum ini sumber memberitahu Malaysiakini bahawa berlaku rundingan antara PKR dan Umno untuk merampas kerusi Bersatu.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke juga membayangkan kemungkinan kerjasama dan gabungan baru, namun menimbulkan persoalan apakah Umno sedia untuk duduk semeja dengan parti itu.

Menurut Loke, DAP menetapkan syarat yang jelas berhubung kerjasama berkenaan, antaranya tidak akan menerima pemimpin Umno yang korup.

Mengulas lanjut, Khaled berkata banyak kenyataan berbeza dikeluarkan pihak lawan, namun ia jelas memperlihatkan terdapat usaha untuk ‘melamar’ Umno.

“Walaupun kenyataan berbeza-beza dan tak sama antara satu sama lain, nampak macam ada usaha nak melamar Umno.

“Sama ada daripada Bersatu itu sendiri ke, PAS ke, yang memang dah bersama kita sekarang ini dan berada dalam kerajaan PN dan kita pun ada kerjasama dalam MN (Muafakat Nasional).

“Kemudian ada pula cakap-cakap parti-parti yang memang jadi musuh tradisi Umno seperti PKR, DAP dan baru-baru ini seperti Amanah.

“Semuanya nampak macam nak melamar Umno. Kalaulah Umno ini dah tak cantik, tak molek dan tak ada apa-apa kenapa semua orang nak melamar Umno?”soalnya.

‘Umno wadah untuk orang Melayu’

Atas sebab itu, Khaled berharap ahli Umno terus kekal dan yakin bahawa parti itu mampu memainkan peranan serta menyumbang kepada perjalanan politik tanah air.

Katanya, meskipun Umno tewas pada PRU lalu, namun parti itu masih lagi mendapat sokongan padu kerana ia merupakan satu-satunya wadah bagi orang Melayu.

“Katalah, kita ambil contoh Bersatu kalah dalam pilihan raya akan datang, dia boleh kekal tak?

“Umno (pada PRU lalu) kalah, tetapi Umno kekal dan walaupun pilihan raya kecil pada permulaannya kita tak berjaya pada masa itu tetapi kita terus berjaya.

“Sebab apa? sebab Umno adalah satu perjuangan, Umno adalah wadah pengislahan orang Melayu,” katanya.

Selain itu, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata proses pengukuhan Umno sebelum ini berjaya mengasingkan pemimpin parti itu yang tidak ikhlas dalam perjuangan mereka.

“Pengukuhan berlaku bila dalam keadaan selepas Umno tidak berjaya, Umno dapat asingkan mereka yang ikhlas dan mereka yang tidak ikhlas,” tambahnya. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker