Bantuan khas hingga RM500,000 jika alami kesan sampingan vaksin Covid-19


Bantuan kewangan khas akan diberikan kepada individu yang mengalami kesan sampingan serius akibat pengambilan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Adham menyatakan bantuan itu adalah usaha proaktif daripada kerajaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk ekoran pengambilan vaksin Covid-19.

“Kerajaan bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 bagi rakyat Malaysia dan warganegara asing yang dapat kesan sampingan serius setelah menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya.

Adham berkata demikian menerusi sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang diadakan di Putrajaya serta disiarkan secara langsung dalam talian.



Ketika ini terdapat lima kaedah disediakan untuk orang ramai mendaftar bagi mendapatkan akses vaksin Covid-19.

Ini termasuk melalui aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan dilancarkan minggu depan, menghubungi talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan bantuan pendaftaran dari kerajaan negeri bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Tambah Adham, kerajaan kini memperuntukkan dana RM10 juta bagi bantuan khas kewangan tersebut.

Bagi individu yang mempunyai kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan hospital dalam jangka masa panjang, katanya, mereka layak menerima bantuan sehingga RM50,000.



Selain itu, mereka yang mengalami kecacatan kekal atau kematian ekoran pengambilan vaksin Covid-19 akan menerima bantuan berjumlah RM500,000.

Adham berkata, tiga jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau dan menilai setiap kes tersebut, termasuk melihat hubungan antara vaksin dan sebarang penyakit.

Jelas Adham lagi, usaha kerajaan itu juga dilaksanakan bagi menjaga kebajikan serta meningkatkan keyakinan rakyat untuk menerima vaksin Covid-19. Mk

Hospital punca kerosakan buah pinggang? Hanyalah MITOS



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker