Dinasti politik tidak pelik

 

Tradisi  dinasti politik atau politik ahli keluarga di negara ini bukan satu keunikan apatah lagi untuk dikatakan pelik kerana ciri sama turut berlaku di hampir seluruh negara lain.

Di Malaysia, boleh dikatakan setiap parti politik ada kecenderungan mempunyai wakil ‘anak-beranak’ dan sejarah itu sudah lama dan sampai sekarang.

Umpamanya dalam kalangan UMNO, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘mewarisi’ karier politik bapanya, Tun Abdul Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudian menurunkan pula legasi politiknya kepada anaknya, Datuk Mohd. Nizar yang kini menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Pekan.

Menteri Luar yang juga sepupu kepada Najib, Datuk Seri Hishammuddin pula mewarisi kepemimpinan bapanya, bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.

Situasi sama turut berlaku di Putrajaya iaitu Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kini cuba menaikkan anak beliau, Tengku Iqbal Munawwir menggantikan tempatnya.

Tengku Iqbal Munawwir, 31, ketika ini adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya.

Tengku Adnan sudah berada di Parlimen Putrajaya empat penggal berturut-turut dengan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengekalkan kerusi Parlimen itu selepas menang dengan majoriti 3,372 undi.

Tradisi politik dinasti juga terserlah dalam kalangan parti DAP iaitu gandingan Lim Kit Siang dan Guan Eng yang sudah lama menerajui parti itu selain bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh turut diikuti anaknya, Ramkarpal Singh dan Gobind Singh.

Tidak ketinggalan, Nurul Izzah Anwar mengikuti jejak langkah bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik, malah pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad masih membayangi anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Susur galur politik talian kekeluargaan dalam Pas pula, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diikuti anaknya, Muhammad Khalil yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, selain Nik Muhammad Abduh mewarisi figura ulama bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Melengkapi dinasti politik keluarga di Sabah pula ia membabitkan Datuk Seri Musa Aman dengan adiknya, Datuk Seri Anifah Aman serta anaknya, Yamani Hafez selain turut disertai menantunya Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif.

Mengulas pola tersebut kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, pendedahan keluarga terhadap persiaran politik menjadi faktor timbulnya politik dinasti.

Dalam konteks ini, beliau berkata, ia tidak menjadi isu besar sekiranya seseorang anak yang mewarisi politik bapanya dapat membuktikan kewibawaan sendiri sekali gus mampu keluar daripada bayangan atau pengaruh bapa masing-masing.

“Apakah visi yang generasi anak mereka ini mampu meletakkan mereka lebih baik daripada orang tuanya. Ini menjadi ukuran, bukan ukuran dia itu anak siapa, tetapi lebih kepada meritokrasi dan bagaimana mampu berdikari tanpa memerlukan sokongan politik orang tua masing-masing untuk beri khidmat kepada rakyat.

“Apa yang penting, mereka berbakat, mempunyai keupayaan sendiri bukan semata-mata atas nama keluarga,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan pula berkata, dinasti politik agak baik jika anak itu sudah mengikuti senario politik lebih awal dan aktif dalam politik masing-masing sekali gus mampu mengutip pengalaman apabila mereka terjun dalam dunia politik sebenarnya.

Namun, kata beliau, situasi berkenaan menimbulkan masalah jika anak itu tidak minat apatah lagi tidak pernah berkecimpung dalam hal politik, tetapi tiba-tiba ditolak untuk menjadi pemimpin atau calon kerana pengaruh bapanya.

“Ini yang tidak baiknya. Bila ini berlaku, maka rasa tangungjawab atau keberkesanan menjadi pemimpin atau wakil rakyat tidak akan terserlah apabila dipaksa dan anak itu tidak ada minat.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, bukan menjadi satu isu besar dalam hal ini kalau anak mempunyai pengalaman ketika bapa mereka menjadi pemimpin atau wakil rakyat. Maka itu satu kelebihan kepada anak itu ditambah pula kalau anak itu berminat selain disokong oleh penduduk kawasan dan mampu menjadi wakil rakyat yang baik,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker