Ucapan murtad bukan kalimah mainan raih populariti, simpati — MYKMU.NET

Ucapan murtad bukan kalimah mainan raih populariti, simpati



Sebaran :

SHAH ALAM – Ucapan murtad bukan kalimah yang boleh dijadikan mainan semata-mata diungkapkan di bibir serta bukan ucapan kontroversi untuk meraih populariti dan simpati.

Itu antara intipati pengisian khutbah Jumaat di Selangor yang bertajuk ‘Berhati-hati Dengan Ucapan Murtad’.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu menyatakan, umat Islam perlu berhati-hati dengan ucapan murtad yang menjadi isu hangat diperkatakan di media sosial kebelakangan ini.



Khutbah itu turut memaklumkan, implikasi pengucapan kalimah murtad bukan sahaja memberi kesan kepada penutur malah kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara.

Senario itu juga secara tidak langsung didakwa boleh mengganggu gugat keharmonian beragama dalam masyarakat awam dan kesannya, segelintir masyarakat mula keliru dan membuat andaian tafsiran pengucapan dengan pelbagai tanggapan.

“Murtad ditakrif sebagai tindakan memutuskan pertalian dengan agama Islam melalui ungkapan, perbuatan dan niat yang membawa maksud kufur terkeluar daripada Islam.



“Apabila disebut murtad ia bukan bermaksud keluar daripada satu agama kepada agama yang lain. Ia bermaksud keluar dari Islam,” katanya.

Menurut teks khutbah itu juga, pengucapan murtad dianggap sensitif oleh umat Islam apabila diperkatakan secara terbuka dengan andaian yang tertentu.

Ia tidak boleh dilafazkan secara sesuka hati atau disebabkan mempunyai tekanan masalah.



“Pengucapan murtad memberi kesan besar kepada amalan kerana akan merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur.

“Bergurau, kecewa atau merajuk melafazkan ‘aku keluar Islam’ merupakan ucapan untuk memutuskan kepercayaan terhadap agama Islam yang benar dan tertinggi. Pengucapan ini sangat ditegah dan dilaknat dalam Islam,” katanya.

Menurut khutbah itu lagi, individu yang mudah mengungkapkan kalimah murtad kebanyakannya adalah yang tidak mengenal tuhan.



Hal itu dapat dilihat apabila seseorang kecewa terhadap qada dan qadar yang dihadapinya.

“Bagi mereka yang mengenal hakikat tuhan sebenar mustahil mengungkapkan kalimah murtad kerana mengetahui hakikat dan sifat tuhan yang sebenarnya,” katanya.

Teks khutbah itu juga menyatakan pendekatan untuk mengekang penularan isu murtad memerlukan penghayatan dan pendidikan tarbiah Islamiah semenjak dari kecil.



Khutbah berkenaan turut menyarankan ibu bapa melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu fardu ain yang mantap merangkumi pengajaran tentang usul aqidah, ibadat dan akhlak.

“Bagi memastikan keharmonian beragama, semua pihak perlu memandang serius isu ini dengan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat agar agama (Islam) dipandang tinggi dan tidak dipermainkan oleh individu atau kumpulan tertentu.

“Jangan jadikan isu murtad ini sebagai isu politik. Ia adalah isu seluruh umat Islam yang cintakan agama.

“Apa pun alasan bagi mengabsahkan tindakan pengucapan kata-kata murtad namun syariat Islam dengan jelas menghukumkan bahawa pengucapan kata-kata sedemikian sangat ditegah dalam syarak,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply