Lelaki dikompaun RM10,000 letak pelitup muka di dagu


PARIT BUNTAR – Polis mengesahkan pihaknya mengeluarkan satu kompaun RM10,000 kepada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan surat kompaun tersebut memandangkan lelaki berkenaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tanjung Piandang kelmarin.

“Kompaun tersebut dikeluarkan Pasukan Pematuhan SOP PKPB yang membuat tugasan rondaan di kawasan tersebut.

“Lelaki tersebut didapati melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan sempurna apabila hanya meletakkannya di dagu ketika masuk dan keluar kedai berkenaan pada pukul 1.20 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mazuki, pasukan pematuhan tersebut telah melakukan pemerhatian sewajarnya sebelum mengeluarkan notis kompaun berkenaan.

“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 21A(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, ia menyatakan mana-mana individu yang melanggar SOP sewaktu tempoh pelaksanaan darurat boleh dikompaun sebanyak RM10,000 berkuat kuasa sejak 11 Mac.

“Polis hanya menjalankan tugasan mereka dalam penguatkuasaan SOP sebagaimana yang telah diperintahkan kepadanya mengikut peruntukkan bidang kuasa yang telah diwartakan,” katanya.

Menurut Mazuki, adalah tidak adil jika ada segelintir pihak mengecam dan mempertikaikan tindakan anggota polis yang menjalankan tugas dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut.

“Pihak polis telah diberi kuasa dan kami hanya menjalankan tugas-tugas kami sebagaimana yang telah diarah dan diperintahkan kepada kami.

“Dalam notis itu, lelaki itu diberi tempoh tawaran sehingga 1 April ini untuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan berjumpa dengan pegawai diberi kuasa untuk membuat rayuan,” katanya.

Katanya, polis menyeru kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan. K Online

Denda RM10,000 Tanpa Membezakan Kesalahan, Najib Gesa Parlimen Bersidang Agar langkah Kerajaan Ini Dibincang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker