Denda RM10,000 melampau sungguh, kata Syed Saddiq


Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman membidas tindakan kerajaan yang mengenakan kompaun RM10,000 kepada mereka yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 11 Mac lalu.

Beliau berkata hukuman SOP adalah untuk memberi peringatan dan bukan memiskinkan serta menyusahkan rakyat mencari wang sebanyak itu.

“Masuk kedai, scan MySejahtera. Keluar rumah, pakai pelitup muka. Kalau positif Covid-19, patuhi arahan kuarantin.

“Semua SOP kena patuh. Betul lah. Masalahnya, mengapa hukuman ini terlalu melampau? RM10,000 bukan jumlah yang kecil.



“Habis, kalau mereka kena denda sekarang, kena bayar RM10,000? Melampau sungguh,” katanya di Facebooknya.

Beliau merujuk laporan media yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang berkata sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar SOP PKP di seluruh negara setakat semalam.

Hamid berkata nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Dalam pada itu Syed Saddiq menegaskan beliau setuju memang betul perlunya hukuman dan denda kepada mereka yang langgar SOP.



Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan jumlah kompaun yang terlalu tinggi itu.

Syed Saddiq berkata jumlah sebesar RM10,000 boleh digunakan rakyat untuk dijadikan modal berniaga, membayar sewa rumah selama berbulan-bulan, malah menampung keperluan makan minum keluarga.

“Sebelum ini banyak kes terpencil tapi kena denda RM1,000. Ada pelajar turunkan ‘mask’ di stesen kereta api, kena denda RM1,000.

“Ada seorang kakak keluar kereta tak pakai ‘mask,’ kena denda RM1,000. Ada penduduk di Sabah kena denda RM1,000 seorang kerana naik bas melebihi kapasiti penumpang,” katanya.



Syed Saddiq berkata pelbagai proses yang dihadapi rakyat sekiranya mahu membuat rayuan terhadap denda itu.

“Semalam sahaja, ada 330 individu kena denda RM10,000 seorang. Maksudnya, sudah cecah RM3.3 juta jumlah denda semalam sahaja. Melampau lah begini.

“Lagi sedih sebab kita semua tahu yang menteri ke hulu, ke hilir dan langgar SOP tak berhadapan dengan hukuman begini,” katanya. FMT

Berani langgar PKP? Bersedia ‘hadap’ denda RM10,000



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker