Kena kompaun RM10,000 tidak imbas kod Mysejahtera


PETALING JAYA – Polis Cheras mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun ke atas seorang individu kerana kesalahan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kompaun itu dikeluarkan semasa Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuat pemeriksaan di sebuah kedai makan di Bukit Jalil.

“Pada 11 Mac 2021, pukul 6.55 petang, satu Pasukan Pematuhan SOP PKPB telah mengeluarkan kompaun ke atas seorang individu kerana kesalahan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar yang disediakan oleh pekedai.

“Ia sepertimana yang diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan boleh dikompaun sebanyak RM10,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki dipercayai menjadi individu pertama dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar SOP PKPB di sebuah premis di Bukit Jalil.

Surat saman kerana gagal mengimbas kod aplikasi Mysejahteras tersebut tersebar di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk yang mempertahankan tindakan pihak polis.

Dalam pada itu, Mohamed Mokhsein menegaskan, dakwaan yang ditularkan kononnya individu dikompaun tersebut telah mendaftar diri melalui mana-mana saluran, aplikasi atau dalam buku daftar yang disediakan oleh pekedai adalah tidak benar.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, pihak polis akan mula mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP PKP.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, jumlah sebenar kompaun dikenakan itu tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.

Jelas beliau, kuasa tersebut bukan berada bawah anggota polis yang memberikan denda tersebut kerana mereka hanya diberikan tugas untuk menawarkan kompaun kepada pesalah.

“Mereka (anggota polis) akan menulis dalam notis kompaun itu nilai RM10,000 sebab dalam Ordinan Darurat ini ia (denda) dinaikkan dari RM1,000 ke RM10,000,” katanya. K Online

Denda RM10,000 Tanpa Membezakan Kesalahan, Najib Gesa Parlimen Bersidang Agar langkah Kerajaan Ini Dibincang

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker