Boleh guna perkataan Allah tapi tetap ada sempadan, kata Hadi


Sesiapapun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama lain – termasuk yang melantik banyak Tuhan, tidak beragama, atau ateis yang tidak percaya akan adanya Tuhan – tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.

Bahkan, kata Abdul Hadi, ia turut merangkumi orang yang berpelajaran tinggi, orang yang paling bodoh, buta huruf, bahkan orang yang paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung.

“Jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan perkataan Allah,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS di Facebooknya hari ini.

Kata Abdul Hadi, memang terdapat agama lain selain Islam yang menggunakan perkataan Allah seperti contohnya masyarakat Arab yang bukan Islam.

Namun, katanya, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama yang percaya kepada Tuhan selain Allah tidak menepati maksud sebenar kalimah berkenaan.

Hal tersebut kerana kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu maksud Allah dalam bahasa Arab bukan semata-mata Tuhan, tetapi mempunyai lebih luas yang tidak dapat diterjemah secara tepat ke dalam bahasa lain.

“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama,” katanya lagi.

Pun begitu, katanya, perlu juga dilihat pada tujuan penggunaannya, bukan sekadar lafaz dan ungkapan semata-mata.

Jangan sentuh sensitiviti

Jika kalimah Allah itu mahu digunakan bertujuan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, kata Abdul Hadi, maka harus ada sempadan dan hukumnya.

“Begitulah kalau diizinkan kepada hospital sakit jiwa yang hendak menghargai dan menggembirakan bekas pesakit yang telah mendapat rawatan dengan mengurniakan ijazah yang membawa gelaran profesor.

“[…] Apakah perasaan yang sebenar dalam kalangan ilmuwan, sekiranya gelaran itu diberikan kepada orang-orang yang sedemikian?

“Andai kata kalau perkataan Allah dijadikan jenama kasut yang dipijak, adakah atas nama kebebasan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia boleh membenarkan ia berlaku?

“Bagaimana pula makanan yang diharamkan terhadap penganut Islam seperti daging babi, diletakkan namanya dengan perkataan ikan halal, adakah ia boleh dibenarkan atas nama kebebasan?” soalnya, beranalogi.

Begitupun, kata Abdul Hadi, Islam melarang penganutnya menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk, selain membawa konsep kebebasan beragama mengikut sempadan tertentu.

“Di sini semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadannya yang sebenar dan secara saksama,” katanya lagi.

Kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam pada 1986.

Justeru mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Susulan itu, adalah diputuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat. Mk

Penganut Kristian terharu kebajikan pendakwah Islam Ebit Lew

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker