Politik Malaysia macam main masak-masak – Musa Hitam
KUALA LUMPUR: “Macam main masak-masak saja kamu buat politik negara ini.” – Itu kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam terhadap sikap dan tindakan pemimpin-pemimpin parti politik ketika ini.
Beliau yang sudah berbelas tahun tidak mahu mengulas pasal politik tanah air dalam media arus perdana dan media sosial, mengakui sudah bosan memerhati dan mendengar keadaan politik hari ini yang disifatkan sebagai pentingkan diri dan langsung tidak mempeduli kepentingan negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Musa yang kini Pengerusi World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) berkata, keadaan sedemikian berlaku kerana ahli politik hanya mengutamakan soal berapa kerusi yang akan diperoleh bagi menjamin kelangsungan hayat politik masing-masing.
Hal yang sama juga, katanya berlaku dalam UMNO yang mana kini semakin merosot prestasinya akibat perebutan kuasa di peringkat dalaman parti.
“Saya bosan atas keadaan keseluruhan. Ada sekali, saya cakap apalah kamu semua ini wahai ahli politik, macam main masak-masak sahaja kamu buat politik ini. Politik ini mereka buat main-main, untuk diri sendiri. Mereka tak berpolitik untuk kepentingan negara, sebaliknya untuk survival sendiri.
“Sekarang, seorang pun tak cenderung soal falsafah dan ideologi politik, tiada. Sebaliknya, masing-masing sibuk soal berapa kerusi mereka dapat, dan siapa akan berpihak kepada siapa. Orang belah sini akan lompat ke sana, itu sahaja isunya sekarang.
“Daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, sampailah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada semua. Malah dalam sibuk-sibuk politik ini, Rina Harun pun masuk sekali,” katanya sambil ketawa dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi oleh sikap politikus yang suka melompat parti, malah menyifatkan kumpulan itu sebagai ‘katak’ yang layak ditertawakan.
Hal itu, katanya, akibat amalan politik wang yang dijadikan ideologi, malah semakin menjadi-jadi menjelang musim pilihan raya.
“Di Malaysia ini adalah antara negara yang mana terlampau banyak ahli politik melompat parti. Hingga ia jadi satu jenaka, kita gelarkan yang melompat itu sebagai katak. Orang bandar atau kampung, bila jumpa wakil rakyat yang lompat ini, mesti panggil dia katak.
“Dalam isu melompat parti yang menjadi-jadi sekarang, pandangan saya bukan kerana politik atau ideologi. Kalaulah sesuatu itu boleh dianggap sebagai ideologi, dengan dapat duit itu ideologi wang, itulah yang mungkin sebenarnya sedang terjadi. Orang kata, sekarang ini duit habuannya bukan kecil-kecil macam zaman dulu. Kejadian sebegini akan lebih menjadi-jadi bila pilihan raya dah dekat,” katanya.
Justeru, beliau menggesa agar akta antilompat dikuatkuasa dengan segera bagi membendung amalan politik yang merosakkan ini.
Zuraida termasuk 20 MP & Adun lompat disaman RM200 juta oleh PKR