‘COVID-19 tak boleh hidup jika ramai individu ambil vaksin’

Keadaan dijangka kembali normal Februari 2022, paling awal dalam tempoh 6 bulan

 Imuniti kelompok hanya boleh terbina sekiranya individu mula vaksin dan dikembangkan kepada masyarakat serta keseluruhan negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan kapasiti skala besar penerima vaksin – sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus.

Merujuk kepada Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, memang dijelaskan di situ yang mana semua pihak perlu menyokong untuk memastikan jumlah penerima adalah signifikan.

Justeru katanya, satu kaedah penyelarasan perlu dijalankan – di mana pusat-pusat penerima vaksin telah disusun oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain.

“Pada waktu sama, kita meminta mereka yang layak untuk menerima vaksin daftar menggunakan aplikasi MySejahtera supaya apabila vaksin sampai – dalam kumpulan sasar yang berbeza – mereka bersedia untuk menerima vaksin itu dan tidak berlaku pembaziran.



“Ini kerana objektif PICK (Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) untuk mencapai sehingga 80 peratus penduduk Malaysia supaya ‘herd community’ boleh terbina,” katanya dalam Forum YB di Tv Pertiwi, hari ini.

Menjawab persoalan mengapa jumlah sebanyak 80 peratus penerima vaksin diperlukan, beliau menjelaskan ia bagi memastikan bahawa setiap individu memutuskan rangkaian penularan COVID-19.

“Jadi, lebih banyak individu yang menerima vaksin, antibodi dalam badan semakin bertambah dan tidak ada tempat di mana COVID-19 ini hidup.

“COVID-19 ini bahaya apabila ada hos – di mana ia membiak di tubuh manusia. Jika tubuh manusia tidak tersedia untuk mereka membiak kerana ada antibodi tadi, maka secara naturalnya COVID-19 akan mati, rangkaian akan putus sebab semua hos sudah ada antibodi.



“Waktu sekarang ini hos terdedah jangkitan kerana (COVID-19) boleh menjangkiti dari manusia A ke manusia B dan seterusnya,” jelasnya.

Ketika ditanya jangkaan keadaan menjadi normal seperti sedia kala, Prof Azizi berkata, berdasarkan logik sains sebelum ini, mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan hingga 12 bulan atau minimum pencapaian 70 peratus rakyat sesuatu tempat menerima vaksin.

Beliau menjangkakan sehingga program ini lengkap pada Februari tahun depan.

“Paling awal kita akan lihat kesannya selepas enam bulan. Itu jangkaan saya dan mungkin sembilan bulan daripada Februari.



“Dengan erti kata, tahun ini kita akan nampak peratus yang agak baik sekiranya Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat berjalan seperti mana yang telah dirancangkan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker