“Tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti Umno” – Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa ahli dan pemimpin Umno segera meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, menurut Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah “mengugut” untuk “membuang” pemimpin dan ahli Umno.

“Nasihat ikhlas saya kepada semua ahli-ahli Umno yang berada dalam kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Muhyiddin dah ugut hendak buang kita.



“Tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ku Li turut mencadangkan agar Majlis Tertinggi Umno segera mesyuarat dan meminda keputusan agar tidak perlu menunggu parlimen dibubar untuk meninggalkan PN.

“Silap perhitungan? Putus hubungan dan keluar kerajaan PN sekarang. Berhenti main wayang kulit! Tak ada faedah dan tak ada kesan,” katanya.

Kenyataan pemimpin veteran Umno itu hadir ketika Bersatu malam ini bermesyuarat mengenai hubungan mereka dengan parti komponen BN berkenaan.



Ini selepas Umno telah menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Surat bertarikh 26 Feb berkenaan juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya sehingga pembubaran Parlimen.

Dalam perkembangan terbaru malam ini, Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan media merayu kepada Agong untuk menitahkan parlimen bersidang segera.

Zahid berkata parlimen perlu bersidang, antara lain untuk membentangkan “keperluan kestabilan politik” dan “keperluan perpaduan di antara bangsa Melayu dan umat Islam bersama-sama pelbagai keturunan dalam mengemudi negara”.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker