Tangguh sidang Parlimen penghinaan terhadap Agong
PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk mengelakkan Parlimen daripada bersidang adalah penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri undang-undang, Takiyuddin Hassan semalam mengatakan bahawa Kabinet tidak akan menasihati Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang semula ketika tempoh darurat berlangsung sehingga 1 Ogos, walaupun Agong pada minggu lalu mengatakan bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam tempoh berkenaan.
“Seruan menteri bahawa kita harus menangguhkan Parlimen kerana terdapat lebih daripada 100 orang yang berusia di Parlimen … Ia adalah satu penghinaan terhadap kebijaksanaan pengundi (dan) penghinaan terhadap keputusan Raja,” kata Syed Saddiq.
“Agong sangat jelas mengatakan bahawa Parlimen dapat diteruskan.
“Tidak ada alasan logik untuk menghalang Parlimen daripada bersidang. Ini menghina demokrasi, kebijaksanaan Raja dan rakyat Malaysia,” tambah bekas menteri belia dan sukan itu selepas melancarkan Coox Cloud Kitchen di Damansara.
Agong pada minggu lalu mengumumkan bahawa Parlimen dapat bersidang dalam tempoh darurat, pada tarikh yang dianggap sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri, yang menyaksikan beberapa ahli parlimen mendesak kerajaan untuk membenarkan Parlimen bersidang semula pada Mac.
Pada sidang media semalam, Takiyuddin menolak permintaan itu dengan mengatakan bahawa tidak ada keperluan Parlimen bersidang kerana Agong berupaya menggubal undang-undang melalui Ordinan Darurat.
Takiyuddin menambah, kerajaan sebenarnya prihatin terhadap kesihatan dan keselamatan wakil rakyat yang dipilih kerana banyak antara mereka berusia 60 tahun ke atas.
Syed Saddiq turut mempersoal mengapa ada perlu standard yang berbeza secara tiba-tiba.
“Mengapa ketika sidang Parlimen yang lalu, yang berlangsung ketika PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat), semua orang tua boleh duduk bersama, berdebat dan memanggil saya secara terbuka sebagai anak?
“Tetapi tiga bulan kemudian, risiko (dijangkiti) meningkat 10 kali ganda? Ini jelas tindakan orang yang terdesak,” katanya, merujuk dakwaan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak begitu gembira dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Sementara itu, mengulas laporan berita hari ini bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang, dan hanya akan bekerjasama dengan kerajaaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan, Syed Saddiq berkata politik berterusan dalam negara hanya membuatkan pelabur lari menyebabkan orang ramai putus asa terhadap wakil rakyat.
Mengakui kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini turut menghadapi beberapa pertikaian antara bekas perdana menteri – dan bekas ketua PPBM – Dr Mahathir Mohamad dan presiden PKR Anwar Ibrahim, Syed Saddiq berpendapat bahawa ketidakstabilan politik semasa yang berlaku lebih merosakkan.
“Ketidakstabilan kerajaan berpunca daripada pemimpin kerajaan itu sendiri.
“Umno adalah kerajaan. Mereka adalah parti terbesar dalam kerajaan. Dan mereka berdebat dengan PPBM,” katanya.
“Sebelum ini anda tidak pernah dengar kami (PH) bercakap untuk menarik sokongan kepada kerajaan.
“Sekarang, anda mendengar tentang ini setiap hari (dan) setiap minggu, ada sahaja berita mengenai menarik sokongan dan membubarkan Parlimen.
“Kali terakhir mereka (pembangkang) mengatakan PH tidak stabil kerana Tun (Mahathir) dan Anwar bertelagah. Untungnya hanya Tun dan Anwar.
“Sekarang pemimpin PPBM Tan Sri (Muhyiddin) … Mereka (semua) berdebat dengan Umno. Dari pemimpin tertinggi hingga ke bawah. Itu lebih teruk lagi.”
Perlantikan Tommy Oleh Mahathir Penghinaan Kepada Bangsa Melayu – Bersatu Kepong
You must be logged in to post a comment.