Sijil Vaksinasi Pintar untuk yang sudah disuntik


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang merangka pengenalan khusus untuk mereka yang sudah disuntik vaksin COVID-19 dinamakan Sijil Vaksinasi Pintar atau ‘Smart Vaccination Certificate’.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia akan diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

“Saya sudah adakan persidangan secara maya dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita akan maklumkan berhubung ‘Smart Vaccination Certificate’ dalam masa sebulan lagi untuk kita nyatakan mengenai pasport vaksin ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.



Turut sama hadir pada sidang media itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dr Adham sebelum ini memaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang membangunkan sijil berkenaan selain menilai kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama negara lain bagi pembangunannya.

Mengulas mengenai permintaan hospital swasta untuk mendapatkan perolehan vaksin, Dr Adham berkata, buat masa ini perolehan hanya dibuat kerajaan yang diagihkan secara percuma kepada rakyat.

Katanya, peranan hospital swasta akan dilibatkan pada fasa kedua Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan iaitu membantu kerajaan menyediakan fasiliti dan petugas untuk vaksinasi.



“Kita di peringkat pelaksanaan program vaksinasi dan sudah menetapkan vaksin diberi percuma oleh kerajaan. Jadi, itu hanya perolehan dibuat kerajaan.

“Hospital swasta yang ingin membuat vaksinasi atau menerima vaksinasi kita ada saluran iaitu kita gunakan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa persatuan lain untuk kita libat uruskan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan daripada 270,000 petugas kesihatan di negara ini, hanya 127,000 akan menerima vaksin pada fasa pertama yang bermula 24 Februari lalu. BH

‘Selepas disuntik, mereka bukannya kebal’



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker