Padah ‘Balun’ Tabung Masjid

Cubaan mencuri duit tabung masjid membawa padah kepada seorang penganggur apabila dia dihukum dipenjara selama lapan hari dan denda RM1,500 selepas tertangkap dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Tertuduh Ahmad Zhaffir Mohamad Asri, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang melakukan percubaan mencuri duit tabung di Masjid At-Thoyyibah, Kampung Seberang Pasir Mas di Salor, kira-kira jam 2.17 petang pada 25 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Roshayati Hassan.

Sementara itu Roshayati mengemukakan rayuan agar hukuman yang ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Anak guam saya hanya melakukan cubaan dan tiada unsur kecurian dilaporkan. Selain itu, pihak masjid juga tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.

Bagaimanapun pihak pendakwa raya memohon supaya hukuman yang setimpal dikenakan agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama lapan hari dan denda sebanyak RM1,500 terhadap tertuduh selain tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal menbayar denda ditetapkan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker