Buka lebih banyak sektor ekonomi kurang kerugian negara kepada RM300 juta sehari, kata Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) berjaya mengurangkan kerugian negara kepada RM300 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, PKP fasa kedua membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi berbanding PKP terdahulu bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga tekanan ekonomi semasa.

“Semasa PKP pertama dahulu, negara kita mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, pasti sistem ekonomi negara, termasuklah sistem kesihatan awam akan lumpuh,” katanya ketika ucapan perasmian Hari Hasil ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara maya hari ini.



Katanya, negara juga berjaya mengehadkan kes kematian akibat Covid-19 dengan nisbah 0.3% atau dalam kategori 5.0% terbawah di peringkat dunia.

Beliau berkata, keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan Covid-19 juga diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s melalui pengekalan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada Januari tahun ini.

Cabaran hapus Covid-19 tak halang pemerkasaan sektor awam – PM



“Moody’s juga menjangka bahawa penularan Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara.

“Gelombang penularan semasa dan seterusnya hanya akan menangguhkan, tanpa menghalang pemulihan ekonomi negara ke arah landasan pertumbuhan lebih tinggi dan mampan,” katanya.

Zafrul berkata, kejayaan penarafan ini dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik, termasuklah sokongan kepelbagaian sektor ekonomi.

Bagaimanapun katanya, ia amat bergantung kepada keupayaan negara mengekang pandemik dan juga melaksanakan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran.



Walapun Malaysia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.6% pada 2020, Zafrul berkata, angka ini lebih baik berbanding unjuran awal organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (-5.8%), Bank Dunia (-5.8%) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0%).

Prestasi Malaysia juga katanya lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1%) dan Filipina (-9.5%) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9%).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker