Malaysia harus telus dalam isu vaksin – Anwar

 

Ketibaan vaksin di negara ini pastinya akan memberi sinar baru dalam rencana besar kita untuk menundukkan ancaman wabak COVID-19.

Sekurang-kurangnya inilah yang diharapkan kita semua dan yang dimahukan pemerintah. Tetapi ia memerlukan lebih dari sekadar mempertontonkan pengambilan vaksin secara langsung di kaca televisyen.



Kerajaan yang prihatin tidak akan teragak-agak untuk memperpanjang moratorium, setelah diasak keras oleh kami di pihak pembangkang.

Kerajaan yang bertimbang rasa juga tidak akan memperjudi nasib anak bangsa yang kini sedang mengalami masalah akses pada pendidikan, serta dalam masa yang sama mereka disulitkan pula dengan sikap dan pendekatan pemerintah untuk membuka sekolah tanpa rencana yang jelas.

Kerajaan yang prihatin pasti tersedia dengan rencana atau pelan yang jelas dan yang tidak mengelirukan rakyat, terutamanya dalam setiap pengumuman penting terkait perintah kawalan pergerakan.

Benar, ia tersangatlah penting bagi kita semua untuk patuh pada SOP, terutamanya pemakaian pelitup muka, jaga jarak serta kerap membasuh tangan.



Ia sama penting untuk berpadu bagi mendapatkan vaksin dan membina ketahanan baru dalam mendepani wabak ini bagi melindungi diri kita dan orang sekeliling.

Tapi kita juga harus ingat ia bukan alasan untuk kita menganggap segalanya segera pulih dan SOP itu boleh diremehkan.

Hal utama yang tidak harus kita izinkan adalah untuk kerajaan pintu belakang ini untuk menggunakan helah yang sama untuk terus berpaut pada kuasa hasil dari pengkhianatan pada mandat rakyat.

Meski kita akan terus berdoa agar rencana vaksin ini berjaya, kita juga tidak harus bungkam dan akur sehingga tiang-tiang seri demokrasi kita diletakkan pada tingkat yang sepatutnya.



Kerjaya menteri yang bertanggungjawab untuk fasa vaksinasi ini juga tergantung pada aspek pelaksanaannya.

Dalam kenyataan spontan beliau, ia menggambarkan betapa beliau telah pun melalui proses yang panjang untuk memungkinkan negara telah sampai ke tahap sekarang.

Ia ternyata suatu proses yang panjang yang jauh dari pengetahuan rakyat dan negara. Beliau sebut bahawa pemerolehan vaksin telah tertangguh lama, tetapi ia tidak seperti yang digambarkan.

Meski vaksin telah pun kita terima, siapa yang akan menerimanya dan bila, dan bagaimana dengan aspek mendidik rakyat terkait risiko serta manfaat vaksin?



Mengapa Malaysia hanya baru menerima vaksin sekarang? Tentunya rundingan memerlukan masa dan pengawal-pengawal selia mesti diberi kuasa yang secukupnya, tetapi mengapa Malaysia begitu lambat?

Dalam masa yang sama, Indonesia telah pun memulakan fasa vaksinasi pada pertengahan bulan Januari dan dijangka akan mencakup seramai 18 juta para petugas barisan hadapan dan para perawat pada bulan April.

Pemerintah di Malaysia pula hanya sebut “percayakan kami”.

Justeru apa status dana sebanyak RM 3 bilion yang diperuntukkan untuk pemerolehan vaksin dalam Belanjawan 2021? Berapa kosnya?



Untuk ini, menteri tersebut hanya menyebut RM 2.05 bilion, tetapi berapa harganya ketimbang negara-negara lain perlu juga diberitahu kepada rakyat.

Bagaimana harus kita pastikan bahawa RM 2.05 bilion ini tidak bocor di tengah atau dimanfaatkan oleh kroni-kroni? Hanya ayat “percayakan kami” itu sahaja yang menjadi satu-satunya jaminan yang rakyat terima setakat ini.

 

Kita bukan sahaja terlambat, malah tidak ada perancangan yang jelas untuk ini.



Petugas-petugas barisan hadapan akan menjadi kumpulan yang pertama yang akan menerima vaksin setelah kerajaan, tetapi nampaknya ini masih belum dipastikan.

Tidak hanya itu, hospital-hospital juga yang sedang menunggu vaksinasi dijalankan ke atas kakitangan mereka tampaknya masih dalam ketidaktentuan di mana ada kemungkinan akan ada pengumuman baru terkait PKP.

Kerajaan mengambil masa yang cukup lama untuk mengumumkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tanpa membina keyakinan atau mendidik rakyat terkait kepentingan vaksin.

Ia juga tidak membantu dalam aspek jurang antara yang kaya dan yang miskin terkait akses pada vaksin (kegagalan besar di negara-negara Barat) atau infrastruktur digital yang diperlukan memandangkan aplikasi MySejahtera dilambakkan dengan cip-cip digital.

Ia mengusulkan idea-idea yang gah mengenai pengesanan kontak, pengawasan genomik dan kajian lanjutan mengenai kekebalan dan kemungkinan mutasi virus, tetapi ia langsung tidak menampakkan rencana yang jelas.

Apa yang Malaysia perlukan adalah ketelusan dan kebertanggungjawaban, apatah lagi dalam fasa vaksinasi sekarang.

Kita mahukan lebih dari sekadar ayat “percayakan kami”.

Kerajaan harus mencerakinkan rencana yang jelas kepada rakyat, Apakah fasa-fasa tersebut? Bagaimana kita akan tahu siapa yang terima dahulu dan bila? Apa yang terkandung dalam lingkungan kuasa kerajaan terkait ini? Bagaimana untuk kita tahu jenis vaksin yang sampai ke negara kita?

Apakah ada kajian tentang bagaimana kesan vaksin akan memberi dampak yang baik kepada rakyat serta kesan-kesan sampingannya?

Bagaimana dengan aspek memperkasa elemen lain dalam masyarakat Malaysia untuk sama-sama menggalas tanggungjawab dalam rencana negara membendung wabak ini? Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah telah menjalankan kajian terkait wabak ini beserta data yang cukup membantu.

Namun, apa jenis kajian dan penyiasatan tentang wabak ini yang telah dijalankan setakat ini?

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa vaksin berpotensi memberi dampak yang berlainan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas dan mereka yang mengidap penyakit kronik, tetapi apakah langkah kerajaan dalam memastikan kebimbangan-kebimbangan ini dapat diatasi?

 

Apakah universiti-universiti kita serta institusi pendidikan di negara ini telah digerakkan untuk memperkukuh Akta Pengawalan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988?

Mengapakah sumber kita tidak dihala ke arah pengkajian vaksin di Malaysia dan berusaha untuk melakukan lonjakan dalam aspek ini, yang tidak hanya semata untuk rakyat tetapi juga untuk kebaikan manusia sejagat?

Prasarana jenis apakah yang patut dibangunkan dalam kadar segera agar ia tidak hanya untuk memampan dampak wabak ini sekarang tetapi juga untuk rencana jangka panjang bagi bersiap sedia sekiranya terdapat ancaman dari wabak-wabak yang baru?

Berdasarkan perkembangan serta kajian terkini, tampaknya wabak COVID-19 ini bukanlah wabak yang terakhir yang harus kita hadapi, malah wabak yang seterusnya boleh datang dengan lebih cepat dengan kesan yang bukan kecil.

Apa yang telah kerajaan kita lakukan bagi melindungi maklumat serta data warga? Aspek ini mesti diambilkira dan diberi perhatian kerana terdapat lambakan serta pertambahan data saat ini.

Kerajaan harus mencari titik imbang antara data yang diterbitkan untuk kajian dan pengetahuan umum dan data yang mesti dilindungi bagi menghalang gejala salahguna data oleh sektor pemasaran dan perniagaan yang sedang mencari peluang mencari keuntungan.

 

Apa langkah-langkah yang telah diambil kerajaan? Harus ada rencana yang jelas bukan sahaja dalam soal vaksinasi, tetapi juga apa yang akan kita hadapi kemudian.

Kita harus bersedia sekarang, waima selepas menerima vaksin bahawa kita mesti melakukan pengubahsuaian dalam tata hidup kita agar kes-kes baru dapat dijauhi.

Kita juga mesti bersedia untuk gejala wabak yang akan datang dan persiapkan segalanya dan perbetulkan.

Perjalanan kita masih panjang ke arah fasa penyembuhan dan kita mesti tingkatkan disiplin serta sikap berjaga-jaga.

Saya juga harus tegaskan bahawa kerajaan kini mempunyai kecenderungan otoriter yang membimbangkan terkait pendekatan mereka terhadap propaganda antivaksin.

Meski kita mesti berjaga-jaga dalam menghadapi gejala berita palsu, pendekatan seperti ini berpotensi untuk memberi tamparan kepada kerajaan dan seterusnya hanya akan merancakkan gejala teori konspirasi.

Justeru, apa rancangan dan langkah kerajaan dalam mendepani gejala ini?

Atau apakah benar Pengisytiharan Darurat hanya alat dan perkakas bagi terus berpaut pada kuasa?

Kita mesti tegas berhadapan dengan gejala berita palsu, samada dari golongan anti vaksin atau gejala lain, tetapi pengharaman secara pukal hanya akan memperkuat golongan yang kononnya terkesan dengan langkah ini.

Satu-satunya cara untuk menumpaskan gejala berita palsu adalah mendepaninya dengan logik dan pemikiran kritis dengan meneguh pandangan-pandangan para saintis serta pakar.

Ini mesti disusuli dengan memperkukuh sistem pendidikan kita, tidak hanya untuk membina keyakinan di kalangan rakyat kepada kerajaan tetapi juga untuk membina keyakinan rakyat kepada pakar-pakar kita dalam bidang perubatan dan sains.

Saya menggesa kerajaan untuk memberi perhatian kepada perkara-perkara ini seikhlas yang mungkin, merencana semula dan jelaskan kepada rakyat.

Saya juga ingin menzahirkan kesyukuran terkait kenyataan Yang di-Pertuan Agong baru-bari ini terkait Parlimen.

Saya menggesa kerajaan untuk segera memanggil Sidang Parlimen sesegera mungkin agar kita dapat menuntut dan memikirkan rencana yang lebih telus dan kuat bagi menghadapi wabak ini.

Ini masa yang sangat penting untuk kita bangunkan kesedaran nasional dalam menentang virus ini dan bangunkan negara serta tatanan yang punya keyakinan bagi melonjakkan bangsa ini ke satu tahap yang lebih baik.

ANWAR IBRAHIM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker