Bersatu ditemplak Puteri, hidup mati UMNO bukan ditangan kamu – Zahida

Hidup mati Umno bukan di tangan Bersatu, kata Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan sebagai membalas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Katanya, Umno yang mampunyai tiga juta ahli masih relevan dan kukuh kerana dikuatkan dengan akar umbinya yang setia.

“Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?

“Alhamdulillah, ‘pohon’ Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Umno supaya akur bahawa parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.

Katanya, situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.

Menurutnya, sekiranya mereka tidak bekerjasama, semua parti akan rugi dan berkemungkinan kalah nanti.

Dia berkata, Bersatu masih mengharapkan Umno bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 dapat dielakkan.

Wan Ahmad Fahysal berkata, kedegilan Umno untuk tidak bekerjasama dalam PN hanya akan mengakibatkan parti itu termasuk Bersatu dan PAS kalah.

Sebelum ini, Umno yang bermesyuarat di Janda Baik, Pahang, Jumaat lalu dikatakan membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan PN.

Dalam pada itu secara sinis Zahida berkata, di saat pemimpin Pemuda Bersatu itu mengatakan masa Umno telah berakhir, namun bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad masih menyayangi Umno.

“Parti keramat ini akan terus kuat, untuk terus memayungi rakyat dan negara.

“Kamu kata zaman Umno sudah berakhir. Ironinya, bos kamu dahulu Tun Mahathir mengaku masih sayang Umno.Jadi zaman siapa yang sudah berakhir?

“Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah ‘mencetak wang’,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker