Zahid sindir PN urus pandemik Covid-19

 

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara sinis ‘memuji’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam soal pengurusan wabak Covid-19 di negara ini.

Ia merujuk kepada setiap langkah diambil kerajaan terutama dalam aspek prosedur operasi standard (SOP) ketat yang sentiasa dikemas kini namun hasilnya tidak pun mencerminkan keadaan sebenar apabila kes jangkitan Covid-19 tidak turun-turun.

“Saya ucapkan tahniah kepada barisan hadapan yang mengurus dan amendepani masalah pandemik ini. Bermula daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua agensi yang terlibat.

“SOP cukup ketat dan setiap hari tanpa putus walaupun hari raya, pengumuman berkenaan Covid-19 tetap dilakukan untuk mengemas kini SOP baharu yang digunakan.

“Alhamdulillah, jumlah pesakit semakin bertambah dengan pengurusan yang baik. Ini harus dibanggakan. Negara lain di seluruh dunia tidak lagi menceritakan soal berapa pesakit yang jumlahnya meningkat atau pun turun, sebaliknya sudah bebas daripada Covid-19,” katanya dalam sesi temubual bertajuk Hati ke Hati Bersama Presiden UMNO yang diadakan secara maya oleh Malaysia Post malam ini.

Malah, kata beliau, proklamasi darurat sejak 12 Januari lalu dan berakhir 1 Ogos ini seharusnya dipanjangkan dalam tempoh masa tertentu lagi melihat ‘kecekapan’ negara yang kononnya meletakkan Covid-19 sebagai alasan untuk mengisytihar darurat.

Antara lain, pada saat beberapa negara di rantau Asia yang dilihat ‘kurang membangun’ tetapi sudah menerima vaksin Covid-19, Malaysia dilihat agak terlewat menerimanya sedangkan negara ini lebih maju berbanding negara Asia lain.

“Kita negara yang amat maju ini dengan SOP cukup baik, perutusan khas diberi lebih 40 kali (oleh Perdana Menteri), kes positif Covid-19 masih juga meningkat, malah jangkaan Inshallah pada Mac ini akan meningkat kepada 20 ribu kes dalam sehari.

“Kita lihat berita antarabangsa, mereka tidak lagi bercerita tentang kematian sebaliknya memaparkan berapa ramai yang sudah divaksin, berapa banyak vaksin yang telah digunakan kepada penduduk dan berapa peratus populasi yang telah divaksin. Alhamdulillah, ini kejayaan kepada negara kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply