Lebih 40,000 Residensi Prihatin bakal dibina di KL dan Putrajaya

Residensi Prihatin adalah program perumahan di zaman pemerintahan BN yang diteruskan kembali oleh kerajaan semasa

 

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang membina lebih 40,000 unit Residensi Prihatin dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan golongan pemohon rumah pertama, penjawat awam, dan keluarga muda, terutama petugas barisan depan, memiliki rumah sendiri.

Menteri Annuar Musa berkata, sebagai permulaan KWP dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) mahu membangunkan sebanyak 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 750 kaki persegi, melibatkan 10 tapak di Putrajaya di Presint 5, 7, 11, 16, dan 19.

Annuar berkata, projek berkenaan dalam peringkat perancangan dengan pembinaan dijangka sehingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,592 unit “Kenanga” dan “Melur” akan dijual pada harga RM 200,0000, lebih rendah daripada harga pasaran. Kos itu tidak termasuk nilai tanah di Putrajaya.

Katanya, kedua-dua Residensi Prihatin itu akan dibangunkan oleh Tetuan Protasco Development Sdn Bhd, yang menandatangani Perjanjian Pembangunan (D.A.) hari ini.

“Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat tersebut, permohonan Residensi Prihatin ini memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah.

“Keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan pembeli yang terdiri daripada kumpulan keluarga muda, terutama petugas barisan depan yang bertugas di Lembah Klang,” kata pada sidang media sempena pelancaran projek Residensi Prihatin di Putrajaya secara maya.

Program Residensi Prihatin salah satu program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan, dalam usaha KWP mengukuhkan “society safety net” rakyat, sejajar dengan matlamat Inisiatif Wilayah Prihatin (IWP).

Mengulas lanjut, Annuar berkata penetapan syarat minimum 60% daripada jumlah unit pembangunan ini akan diperuntukkan kepada kuota Bumiputera, bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40.

Beliau berkata, pembangunan Residensi Prihatin berkenaan meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak, dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.

“Individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin ini, boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok.

“Permohonan terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan dan keutamaan diberikan kepada pemohon belia yang telah berkahwin.

“Dokumen-dokumen yang diperlukan oleh urusetia akan dimaklumkan terus kepada pemohon melalui e-mel. Kementerian berharap pelaksanaan program bawah Cakna Perumahan ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah Persekutuan terutama sekali kepada golongan muda.

“Semoga projek ini dapat mejadikan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah yang Prihatin serta berdaya huni bagi semua lapisan masyarakat. Residensi Prihatin ternyata tepati keperluan semasa dan kehendak warga penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker