Vaksinasi Covid-19 diawalkan ke Rabu, kata KJ

 

SEPANG: Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dimulakan awal dua hari, iaitu pada Rabu (24 Feb), berbanding seperti dijadualkan sebelum ini, pada Jumaat (26 Feb).

Ini dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pagi ini.



“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu pertama yang menerima vaksin pada Rabu,” kata beliau dalam sidang media selepas majlis penyerahan vaksin di KLIA.

Mereka akan menerima suntikan pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas mesyuarat Kabinet.

Diminta mengulas mengapa program vaksinasi diawalkan, Khairy yang juga menteri penyelaras program itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas semua berpuas hati dengan tahap kecekapan dan kesiapsiagaan semua pihak.

Bangladesh memulakan vaksinasi secara penuh 7 Feb, Malaysia bila lagi?



“Awalnya, kita beri masa beberapa hari selepas vaksin tiba untuk pergerakannya ke pusat simpanan. Selepas itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) harus membuat penilaian untuk memastikan tiada apa-apa kesan daripada penghantaran.

“Tetapi, apabila melihat kecekapan NPRA, KKM (Kementerian Kesihatan), dan semua telah bersiap sedia, perdana menteri kata kita mulakan seawal mungkin, tak payah tunggu sampai Jumaat (26 Feb),” kata beliau.

Khairy berkata, Malaysia akan menerima penghantaran seterusnya pada 26 Feb.



“Selepas itu, setiap dua minggu kita akan menerima penghantaran sehinggalah kita menerima keseluruhan tempahan dari Pfizer.

“Manakala pada 27 Feb, kita akan menerima kumpulan pertama vaksin keluaran Sinovac,” katanya.

Menurut Khairy, kumpulan vaksin yang tiba hari ini akan dihantar ke 16 lokasi pusat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong serta Noor Hisham.



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker