Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini, saya secara peribadi tidak bersetuju – Khaled Nordin

 

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata ramai orang yang terkesan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mendenda Malaysiakini sebanyak RM500,000 susulan komentar oleh pembaca di portal berita ini.

Katanya, dia yakin Mahkamah Persekutuan mempunyai “ratio decidendi  dan justifikasi yang jelas” serta kukuh dalam memberikan penghakiman tersebut tetapi dia tidak setuju dengan keputusan itu.

“Namun, secara peribadi, dan tanpa sedikit pun menunjukkan rasa tidak hormat saya pada kebijaksanaan dan kebebasan institusi kehakiman kita, saya secara peribadi tidak bersetuju dan mempunyai pandangan yang berbeza dengan keputusan tersebut.

“Memandangkan keputusan tersebut akan kekal dan terus menjadi panduan dan rujukan dalam amalan media di negara kita, maka semua pihak selepas ini harus memastikan amalan media dan kebebasan berita, terutamanya di dalam platform media sosial, dilakukan dengan lebih beretika, santun dan tidak keterlaluan.

“Kita harus memastikan media kita terus bebas, neutral dan tidak berasa ragu-ragu dalam menyata atau mengangkat pandangan sama ada dari pihak mereka sendiri atau pun masyarakat awam,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelas Khaled, dirinya “bukanlah peminat atau penyokong tegar” Malaysiakini, malah mendakwa ada kenyataannya sebelum ini yang “disiarkan di luar konteks.”

“Malah, saya juga pernah sahaja dikritik dan diserang melalui ruangan mereka. Namun, saya percaya pada satu perkara. Hak serta kebebasan mereka sebagai media.

“Hanya dengan mempunyai media yang bebas dan neutral, amalan demokrasi akan menjadi lebih baik dan matang. Pentadbiran negara akan mempunyai instrumen semak dan imbang. Serta masyarakat akan mempunyai pilihan dan kepelbagaian sumber maklumat,” katanya lagi.

Selama bertahun-tahun, Umno melihat Malaysiakini sebagai ‘media propembangkang yang tidak membuat laporan seimbang’ terhadap parti itu.

Malahan, Umno beberapa kali melarang Malaysiakini dan beberapa media lain membuat liputan perhimpunan agung parti itu sebelum pilihan raya umum 2018.

Terdapat juga menteri Umno yang pernah ‘menghalau’ wartawan Malaysiakini meninggalkan sebuah majlis pada 2017.

Pun begitu pada hantaran di Facebook malam tadi, bekas presiden Umno Najib Razak berkata keputusan kerajaan Perikatan Nasional untuk mendakwa Malaysiakini  “memberi kesan yang besar terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media.”

“Ianya mungkin membuka ruang untuk kerajaan mengambil tindakan yang sama terhadap pemilik-pemilik akaun Facebook, Instagram atau media lain,” katanya.

Bagaimanapun, Najib juga berkata semasa PH berkuasa, menteri komunikasi ketika itu Gobind Singh Deo mempertimbangkan keperluan untuk mengambil tindakan ke atas pengendali portal berita yang tidak memantau dan membiarkan komen menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

“Saya dalam proses menimbang sama ada perlu atau tidak satu undang-undang digubal untuk aspek itu tetapi ia masih perkara dalam pertimbangan, belum dibawa ke (mesyuarat) Kabinet lagi,” kata Gobind pada 2019.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan juga menegaskan mengenai kepentingan kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini.

Pemimpin nombor dua dalam Umno itu berkata, peranan media sangat penting bagi memastikan proses semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi.

“Kehidupan demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.

“Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara.

“Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook.

Ketika kempen kutipan dana Malaysiakini  semalam untuk membayar denda mahkamah, sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno menyumbang derma dengan syarat enggan mendedahkan nama mereka.

Leave a Reply