Kebangkitan Umno Sabah bermula PRK Kimanis dan menjadi Kerajaan

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, kemenangan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Jan tahun lalu, sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu sehingga berjaya kembali berada dalam tampuk pemerintahan negeri, sekarang ini.

 

Katanya, sebelum PRK berlangsung, tiada seorang pun pemimpin Umno yang yakin parti itu akan menang namun akhirnya, calon mereka Mohamad Alamin berjaya membuktikan betapa Umno masih menjadi pilihan rakyat di Kimanis.

“PRK parlimen Kimanis adalah cabaran dan ujian yang amat mencabar bagi diri saya kerana sekiranya gagal, ia adalah satu petunjuk prestasi sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin merundum.

“Ketika itu, Umno Sabah telah meletakkan pelbagai hala tuju, namun cabaran yang paling mendebarkan ialah apabila membuat keputusan untuk bertanding di Kimanis. Pada ketika itu juga, tidak ada satu pun pemimpin parti yang menyatakan bahawa Umno Sabah akan menang,” katanya ketika mengulas mengenai sambutan 30 tahun Umno di Sabah, hari ini.

Bung berkata, selepas PRK Kimanis, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada September lalu adalah satu lagi cabaran yang lebih besar dihadapi Umno.

Katanya, walaupun hanya memenangi 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi mereka, ia masih menunjukkan sokongan rakyat kepada parti itu masih kuat.

“Walaupun Umno dan BN boleh memenangi lebih dari 14 kerusi pada PRN lalu, namun beberapa faktor dilihat menjadi halangan antaranya pertembungan sesama sendiri dan pemilihan calon yang tidak memenuhi kriteria seperti diinginkan rakyat di peringkat akar umbi.

”Walaupun kejayaan ini agak kecil namun ia petunjuk positif yang Umno dan BN masih diterima rakyat Sabah sekali gus kejayaan itu penyumbang utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Bung berkata, Umno Sabah telah melalui pelbagai krisis, dugaan dan cabaran selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), lebih-lebih lagi selepas beberapa pemimpin mereka dan parti komponen dalam BN meninggalkan mereka selepas itu.

“Yang amat menyedihkan apabila 22 orang pemimpin-pemimpin Umno telah meninggalkan parti ini termasuk ketua bahagian, timbalan ketua bahagian serta wanita dan pemuda yang turut meninggalkan parti ini.

”Bagaimanapun di dalam kesukaran pada ketika itu, saya bersama rakan-rakan serta kepemimpinan di seluruh bahagian yang masih berprinsip dan setia dalam perjuangan parti itu terus bekerja keras demi memastikan Umno di Sabah terus relevan.

”Bersama rakan-rakan saya terpaksa turun padang menjelajah seluruh bahagian di Sabah dan dari penerangan, perjumpaan demi perjumpaan itu, saya berkeyakinan akar umbi Umno Sabah tetap setia walaupun ramai pemimpin melompat parti.

”Jangkaan saya juga tidak salah, yang melompat adalah pemimpin tetapi ahli-ahli Umno tetap terus bersama Umno,” katanya.

Kapsyen: Umno Sabah telah melalui pelbagai krisis, dugaan dan cabaran selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terutama selepas beberapa pemimpin mereka dan parti komponen dalam BN meninggalkan mereka selepas itu, kata Bung.

Leave a Reply