Rumah baru buat anjing dan kucing arwah Mak Intan – Ebit Liew

 

Selepas pemergian Allahyarhamah Mak Intan atau Halijah Idris pada awal Febuari lalu, kini ratusan kucing dan anjing peliharaannya pula bakal kehilangan tempat berlindung.

Ini apabila tanah yang menjadi tempat haiwan itu berteduh akan diambil semula oleh pihak berkuasa tempatan dalam tempoh seminggu lagi iaitu pada 21 Februari bagi tujuan pembangunan.



Tampil menghulurkan bantuan, pendakwah dermawan, Ebit Lew yang mendapat tahu kesukaran yang dihadapi oleh waris Mak Intan untuk mencari tempat perlindungan baru bagi haiwan terbiar itu.

Pada hantaran di Facebooknya, Ebit berkata dia berhasrat untuk menyewa gudang atau membeli tanah untuk menempatkan kesemua haiwan malang tersebut.

“Doakan ya. Ada seminggu lagi 300 ekor anjing dan 130 kucing tiada tempat tinggal tetap lagi. Saya nak taja gudang atau belikan tanah untuk semua anjing dan kucing ini. Saya tengah cari gudang atau tanah kawasan Alor Setar, Kedah.

“Kasihan saja tengok 300 ekor anjing dan 130 kucing. Mak Intan baru saja meninggal dunia minggu lepas kerana kanser. 30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati, beri makan, dan tempat tinggal. Ramai yang hantar pada mereka,” katanya.



Ebit hari ini dilaporkan berkunjung ke tempat perlindugan haiwan terbiar yang diusahakan oleh Allahyarham Mak Intan.

Menurut Ebit, selepas pemergian Mak Intan, haiwan peliharaannya itu kini berada bawah tanggungjawab anak-anaknya.

Kata Ebit, pihak berkuasa tempatan ada menyediakan kawasan untuk disewa dengan syarat tertentu.

“Tadi berbincang dengan keluarga arwah Mak Intan. Baik anak-anak Mak Intan. Terpilih buat kerja begini. Dah lewat petang. Saya nak taja tempat bagi semua anjing dan kucing ini



“Terima kasih semua yang menyokong perjuangan Mak Intan dan keluarga. Terima kasih semua pimpinan masyarakat dan masyarakat sekitar,” katanya.

Mak Intan yang merupakan pemilik pusat jagaan ratusan kucing dan anjing, Pak Mie Shelter menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah pada 10 Februari lalu.

Allahyarhamah Halijah, 73 atau lebih dikenali sebagai Mak Intan dilaporkan meninggal dunia akibat menghidap kanser ovari.

Media sebelum ini melaporkan, Mak Intan yang menguruskan pusat perlindungan haiwan terbiar itu dan sanggup menghabiskan masa 24 jam semata-mata untuk menjaga sekurang-kurangnya 700 kucing dan anjing jalanan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker