Zahid beri jaminan UMNO ada hala tuju hadapi PRU-15
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kepada seluruh akar umbi, kepimpinan dan penyokong UMNO yang parti itu mempunyai hala tuju yang jelas.
Presiden UMNO itu berkata, hala tuju paling utama parti ketika ini ialah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kedua, katanya, memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.
“Ada yang resah dan bertanya UMNO seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang Presiden UMNO lakukan? Ke mana UMNO mahu dikemudi?
“Saya faham keresahan ini. Justeru, hari ini saya beri jaminan bahawa UMNO ada hala tuju yang jelas,” katanya yang dipetik kenyataan menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah menjawab mengenai status Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai UMNO dan Pas pada 2019 semalam.
Ujarnya, beliau faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi dan memberi jaminan UMNO memilikinya.
“Cumanya, ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.
“Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana,” katanya.
Beliau menjelaskan, startegi yang ada menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman) dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan.
“Insya-Allah, barisan pimpinan UMNO mempunyai strategi yang terbaik untuk UMNO, para ahli-ahlinya dan rakyat keseluruhan.
“Tetapi, agak menghairankan apabila anti-UMNO yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana UMNO kononnya tiada hala tuju.
“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.