Kerajaan tak guna kuasa darurat sebab pihak swasta beri kerjasama
Kerajaan belum menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi mengambil alih aset swasta berikutan kerjasama yang baik daripada sektor tersebut.
Ordinan Darurat memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih tanah, bangunan, atau harta alih milik swasta sepanjang tempoh penguatkuasaannya.
Bercakap dalam sidang mediah hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan penghargaan kepada hospital swasta kerana membantu kerajaan dalam melawan wabak Covid-19.
“Walaupun Ordinan Darurat memperuntukkan perkara ini, kerjasama yang diberikan oleh pihak swasta amat baik sekali. Mereka sedia memberikan segala bantuan dan sokongan.
“Contohnya hospital swasta keseluruhannya sedia bantu sediakan (keperluan) di hospital mereka, seperti kemudahan untuk katil, peralatan, doktor, jururawat dan pegawai perubatan lain.
“(Maka) walapun proklamasi darurat ada peruntukan (pengambilalihan) disediakan, tetapi respons yang agak baik tidak memerlukan kita untuk menguatkuasakannya,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya jika kerajaan telah mengambil alih mana-mana sumber, kemudahan atau aset swasta di bawah ordinan tersebut, sejak mula dikuatkuasakan pada 15 Januari.
Sidang media diadakan selepas pelancaran buku panduan program imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di Putrajaya hari ini. Turut hadir adalah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Sidang media diadakan dengan pemberita duduk dalam bilik berasingan dengan mereka.