Pharmaniaga bukan sekadar ‘tukar botol’ vaksin

KUALA LUMPUR: Tuduhan bahawa syarikat farmaseutikal tempatan diberi kontrak untuk sekadar menukar botol vaksin, tidak berasas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, sebaliknya menjelaskan bahawa Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) akan mengendalikan rantaian proses pembekalan vaksin Sinovac yang dibeli secara pukal.

Katanya, pendekatan sedemikian berupaya menjimatkan kos perolehan vaksin, selain menyumbang kepada kelancaran program imunisasi kebangsaan sebaik saja produk itu tiba di Malaysia pada hujung bulan depan.



“PLS bukan sekadar buat kerja ‘tukar botol’ seperti didakwa segelintir pihak, tetapi mereka diberi peranan, selepas menandatangani perjanjian untuk mengendalikan pelbagai tugas.

“Apabila kita beli secara pukal dan dalam kuantiti besar, ia lebih jimat. Justeru, vaksin yang tiba kelak akan dicairkan, sebelum dimasukkan dalam botol kecil untuk program imunisasi kebangsaan.

 

Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd. - Foto Bloomberg
Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd. – Foto Bloomberg

“Jadi, bukan hanya tukar botol, kemudian siap,” katanya dalam program di BERNAMA TV, malam tadi.



Bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menempuh sebarang kemungkinan pada masa depan, Khairy berkata, kerajaan memberikan geran penyelidikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) untuk merintis usaha pembangunan vaksin.

Beliau berkata, geran hampir RM5 juta kepada kedua-dua universiti itu akan mengambil masa, namun berupaya menjamin kedudukan Malaysia seandainya COVID-19 bukan pandemik terakhir pada peringkat global.

“Malaysia perlu ada kilang, modal dan kepakaran untuk membuat vaksin, supaya apabila pandemik seperti ini berulang, kita tidak lagi bergantung kepada negara atau syarikat luar.

“Kita perlu ada tahap sara diri sendiri. Ini pelaburan jangka panjang yang perlu dimulakan sekarang,” katanya.



Berhubung pemberian vaksin secara percuma kepada warga asing, Khairy berkata, pendekatan berteraskan kepentingan imuniti kelompok dan aspek kemanusiaan itu akan diikuti negara luar.

Menerusi kaedah timbal balik itu, katanya, rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga menerima vaksin, sekali gus dilindungi daripada risiko jangkitan COVID-19.

“Kita tidak selamat sehingga semua selamat, selari slogan iaitu ‘lindung diri, lindung semua’. Seramai mungkin perlu menerima vaksin COVID-19.

“Sebab itu kita buat keputusan untuk babitkan warga asing yang jumlahnya dijangka seramai tiga juta di Malaysia. Ini keputusan dari segi sains, kemanusiaan dan pendirian negara,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker