Keadilan semakin dinafikan, jangan biar keluarga Adib berterusan dalam ‘kegelapan’, kata Pemuda Umno


Pemuda Umno mendesak kerajaan mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan yang sudah diambil berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, makluman perkembangan siasatan perlu diberitahu supaya pihak keluarga Adib tidak berterusan dibiarkan dalam “kegelapan”.

“Lebih lama kes ini dibiarkan tertangguh, lebih kuat persepsi yang timbul seolah-olah keadilan semakin dinafikan buat keluarga arwah Adib sebagaimana prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” katanya di Facebook.



Katanya, pada 26 Sep 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah akibat dipukul. Sehingga hari ini sudah setahun empat bulan lebih, masih tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkuasa.

Pada Disember lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan kepada keluarga Adib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, kes itu memerlukan penelitian dan pelbagai proses siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kes kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dapat dikenal pasti.

Takiyuddin berkata, polis akan meneliti semula perkara itu untuk diambil tindakan dan beliau difahamkan, Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang laporan hasil siasatan baharu berhubung kes itu.



Adib, 24, yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Subang Jaya parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2019 dan meninggal dunia pada 17 Dis tahun sama di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari dirawat. FMT

Keluarga Adib ada hak tuntut keadilan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker