Jemaah lega tunai solat Jumaat selepas 3 minggu kehadiran dihadkan

KUALA TERENGGANU: “Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat selepas tiga minggu kehadiran dihadkan.

“Kami berharap semua jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan akur dengan peraturan dikeluarkan bagi mengelak masjid ditutup,” kata beberapa jemaah ketika ditemui di pintu masuk Masjid Sultan Muhammad, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid dan surau negeri ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua 0 hingga 18 Februari.



Kebenaran berdasarkan kapasiti dan keluasan masjid serta surau dengan pengurusan perlu memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk tidak memasang penyaman udara sepanjang solat berlangsung, membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

Jemaah ketika ditemui berharap pandemik COVID-19, cepat berakhir bagi memastikan masjid dan surau dapat digunakan sepenuhnya untuk semua aktiviti termasuk solat berjemaah.

“Jemaah juga diminta mematuhi dan akur dengan peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengelak ada antara masjid dan surau terpaksa ditutup berikutan kegagalan mematuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati ada jemaah tidak dibenarkan memasuki masjid kerana tidak membawa sejadah.



Pegawai keselamatan yang ditugaskan di pintu masuk masjid meminta jemaah pulang mengambil sejadah sebelum dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar membenarkan 1,200 jemaah menunaikan solat Jumaat hari ini, berbanding hanya 40 tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa pada awal pelaksanaan PKP fasa dua.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker