Ekonomi Malaysia menyusut paling rendah sejak 1998
Ekonomi Malaysia menyusut 3.4 peratus pada suku ke empat 2020, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sementara itu ekonomi tahun penuh 2020 pula turut menyusut sebanyak 5.6 peratus, terendah sejak 1998.
Selain itu antara faktor penguncupan termasuk gangguan bekalan komoditi akibat kekurangan tenaga buruh dan penutupan kemudahan.
Malah semua sektor merekodkan penguncupan prestasi sepanjang 2020 kecuali sektor pembuatan yang merekodkan pertumbuhan dipacu segment elektrik dan elektronik.
Sektor perkhidmatan terus menjadi sektor paling teruk terjejas.
Penggunaan swasta termasuk perbelanjaan isi rumah juga menguncup 3.4 peratus pada suku ke empat.
Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus bagi 2021, ekonomi Malaysia dijangka kembali merekodkan pemulihan dipacu penambahbaikan permintaan global.
“Pada 2021, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh peningkatan permintaan global, serta normalisasi berperingkat aktiviti ekonomi domestik.
“Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan akan menjejaskan prospek jangka pendek, impaknya dijangka kurang teruk berbanding 2020.
“Namun risiko negatif masih wujud susulan perkembangan terkini panularan COVID-19 global dan domestik.
“Paling penting, sokongan dasar dan bantuan kekal tersedia untuk membantu perniagaan dan isi rumah,” katanya dalam sidang media maya pembentangan ekonomi suku ke empat.
Sementara itu kadar inflasi utama bagi suku ke empat 2020 direkodkan pada negatif 1.5 peratus manakala purata inflasi utama 2020 pula berada pada negatif 1.2 peratus.
Shamsiah berkata dalam sudut pinjaman pula, ia merekodkan pertumbuhan 3.7 peratus pada suku ke empat di sokong pinjaman isi rumah yang tumbuh 5.4 peratus secara tahunan.
Pinjaman isi rumah juga melibatkan pembelian rumah dan kenderaan.
Shamsiah berkata, kadar pinjaman tidak berbayar juga dijangka menyederhana susulan sambungan moratorium bagi mereka yang memerlukan.
Malah isi rumah juga sudah mula membayar hutang mereka sejak moratorium menyeluruh di tamatkan-Awani