Hanya dua minggu sahaja lagi SPM, kenapa masih tutup sekolah?

 

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin digesa tampil menjelaskan sendiri tentang penamatan sesi persekolahan bersemuka untuk calon dua peperiksaan utama pada 9 Februari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik membuat gesaan itu selepas makluman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung hal itu, membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), ketika tarikh peperiksaan berbaki kira-kira dua minggu lagi.

Kata Maszlee yang merupakan bekas menteri pendidikan, seperti ibu bapa dan calon-calon peperiksaan, dia sendiri turut tertanya-tanya sebab keputusan sedemikian dibuat.

Meskipun yakin KPM mempunyai alasan dan sebab tersendiri berdasarkan data, suasana terkini, serta maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada pandangannya, rakyat sebenarnya mahukan penjelasan daripada menteri sendiri.

“Isu utamanya ialah penjelasan dari pihak menteri.

“Sehingga kini menteri hanya menyerahkan kepada para pegawai kementerian mewakili KPM untuk muncul di kaca televisyen untuk bersoal jawab dan berdialog berkaitan isu-isu pengoperasian […],”

Sedangkan, katanya, dalam suasana kegawatan pendidikan ketika musim Covid-19, rakyat lebih ingin melihat kepimpinan dan kewibawaan menteri untuk berhadapan dengan rakyat dan membuat penjelasan melalui dialog terbuka.

“Itu akan dapat menenangkan suasana,” katanya lagi.

Berdasarkan satu pekeliling bertarikh 4 Februari, KPM mengumumkan sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM dan SVM tahun 2020 berakhir pada 9 Februari bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari.

Ini selepas pada Januari, KPM mengumumkan sesi persekolahan bersemuka yang sepatutnya bermula 20 Jan lalu hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama, termasuklah SPM dan SVM, selepas kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan.

Ini menjadikan calon-calon bagi dua peperiksaan berkenaan hanya menghadiri persekolahan secara bersemuka selama hampir tiga minggu sahaja, sebelum melakukan persediaan kendiri untuk dua minggu, dan kemudian akan menghadapi peperiksaan.

Selain SPM dan SVM, persekolahan secara bersemuka turut melibatkan calon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Pelajar-pelajar lain pula akan belajar menerusi kelas dalam talian di rumah masing-masing, di bawah kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Beri pilihan

Mengulas hal sama, ahli parlimen Kulai merangkap bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa KPM tidak harus menggunakan pendekatan sama untuk semua situasi.

Meskipun mengakui penutupan sekolah di zon merah hampir tidak dapat dielakkan, bekas timbalan menteri pendidikan itu mempertikaikan apakah keperluan untuk turut menutup sekolah di zon hijau.

“Bagi saya, pilihan mestilah diberikan. Untuk kawasan yang hampir mustahil diadakan pembelajaran dalam talian, bagilah pilihan untuk dibuat kelas fizikal.

“KPM harus berhenti berfikir yang merekalah yang paling tahu. Sebenarnya, PPD (pejabat pendidikan darah) lebih tahu tentang kaedah yang paling sesuai buat mereka,”

Di media sosial, KPM beberapa kali dibidas ekoran pengumuman serta perubahan dasar pada saat akhir berkaitan sesi persekolahan, sehingga dikatakan menyusahkan ibu bapa, pelajar dan guru.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Jalaluddin Alias pula mengakui dia ada menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menzahirkan rasa gelisah ekoran keputusan KPM itu.

“Apakah motif utama pihak KPM membenarkan para calon tersebut ‘bercuti’ selama 14 hari sebelum berlangsungnya SPM/SPMV atas alasan bersedia kendiri?

“Apakah kaedah yang akan digunakan oleh guru dalam tempoh 14 hari sebelum peperiksaan ini untuk membantu pelajar?” soal ahli parlimen Jelebu itu dalam kenyataan di Facebook.

 

Malah, Jalaluddin turut mencadangkan agar graf markah bagi peperiksaan SPM dan SVM diturunkan, ekoran situasi yang terpaksa dihadapi calon sepanjang tahun lalu, gara-gara Covid-19.

“Lembaga Peperiksaan Malaysia dan KPM wajar mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam ini, memandangkan sesi pembelajaran dan pengajaran mereka sangat-sangat terganggu pada tahun lalu,” katanya lagi.

Sekolah di seluruh negara mula ditutup sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, dan persekolahan beralih kepada PdPR, sebelum sekolah dibuka semula Julai tahun lalu.

Ekoran gelombang ketiga Covid-19 serta pelaksanaan semula PKP, sekolah ditutup semula pada November tahun lalu.

Berdasarkan pekeliling oleh Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim buat semua ketua bahagian dan pengarah pendidikan negeri itu, ada dinyatakan bahawa calon SPM dan SVM yang tinggal di asrama boleh kekal berada di asrama.

Bagaimanapun pelajar asrama tetap dibenarkan mahu pulang ke rumah menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina, tertakluk kepada arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), dan sekembalinya ke asrama selepas itu, mereka akan diasingkan 10 hari dan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh itu.

Bagi pelajar yang mahu kekal di rumah pula, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan yang berhampiran.

Related Articles

2 Comments

  1. Ikut je lah apa, pak menteri cakap.. Asyik asyik politik politaik politaikkkkkkkkkkkkkk.
    . Puiiiii

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker