Hentikan ancaman, kami juga tertekan, hospital swasta beritahu MB
PETALING JAYA: Kumpulan mewakili hospital dan doktor swasta meminta pihak berkuasa tidak mengancam mereka dengan denda kerana lewat melaporkan kes Covid-19.
Menurut mereka, sama seperti sistem kesihatan di negara ini, pihak swasta turut berdepan tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh berkata, tidak adil mengancam sektor itu dengan denda kerana mereka melakukan yang terbaik untuk menguji seramai mungkin pesakit untuk membantu kerajaan dan negara.
Katanya, dialog terbuka mungkin lebih produktif.
“Kami sentiasa terbuka untuk perbincangan dengan kerajaan bagi mengenal pasti masalah, untuk mencari penyelesaian yang sesuai bagi kita dan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, bukan niat klinik melewatkan atau menyimpan keputusan ujian Covid-19, sebaliknya berkemungkinan kemudahan itu menghadapi kesukaran melaporkan jumlah kes banyak dengan pantas kerana kekurangan tenaga kerja.
“Kami pasti akan meneliti masalah ini. Kami melakukan yang terbaik untuk membantu kerajaan dan tidak kisah duduk berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan sebarang isu demi rakyat.”
Pandangannya dipersetujui Dr Steven Chow, presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia yang turut berkata, kerajaan tidak patut terlalu cepat menyalahkan klinik serta hospital.
Katanya, mungkin makmal kemudahan berkenaan mempunyai terlalu banyak sampel ujian.
“Dengan jumlah sampel ujian yang begitu banyak tidak hairan jika makmal memerlukan lebih masa untuk mengesahkan kes positif.
“Hospital atau klinik tidak boleh menyerahkan hasil yang tidak disahkan. Kami berpendapat inilah punca tunggakan.”